APM Pahang meninjau situasi banjir di Kampung Mengkarak, Bera

KUANTAN – Situasi banjir di Pahang semakin pulih dengan hanya 979 mangsa banjir daripada 281 keluarga yang terjejas sehingga jam 8 malam ini berbanding 4,971 individu daripada 1,680 keluarga direkodka  pada jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan hanya dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih dibuka di daerah Kuantan menempatkan seramai 438 individu daripada 124 keluarga.

PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Semangat (268 mangsa) dan Sekolah Menengah (SM) Chong Hwa Kuantan (170 mangsa).

Bagi daerah Pekan pula, seramai 426 individu melibatkan 132 keluarga masih berlindung di tiga buah PPS iaitu SM Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Manis dan Dewan Orang Ramai Air Hitam.

Daerah Bera mencatatkan seramai 67 mangsa banjir melibatkan 16 keluarga yang masih berada di PPS SK Bukit Gemuruh dan Masjid Kampung Mengkarak.

Sementara itu, 35 mangsa banjir melibatkan enam keluarga di daerah Maran masih berlindung di PPS Balairaya Kampung Baru Pertanian.

Manakala seramai 13 mangsa banjir melibatkan tiga keluarga di daerah Temerloh direkodkan masih berlindung di PPS Masjid Bukit Kepayang.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai di Lembangan Sungai Pahang yang masih berada pada paras bahaya iaitu di Waterfront, Bera; Lubuk Paku, Maran dan Kuala Sungai Chini di Pekan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast