KUALA LUMPUR – Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN bagi membincangkan situasi terkini antara Kemboja dan Thailand di ibu negara esok, menurut Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan Mesyuarat Khas itu diadakan susulan persetujuan yang dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu untuk membawa isu berkenaan ke peringkat serantau.
“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Negeri. Ia akan memberikan satu wadah kepada menteri-menteri luar negeri ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand,” menurut kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, mesyuarat berkenaan turut akan meneliti langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyokong usaha berterusan meredakan ketegangan serta menghentikan sebarang permusuhan.
“Ia juga akan mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan dan kestabilan antara kedua-dua negara anggota ASEAN tersebut serta rantau ini secara keseluruhan,” katanya.
Mesyuarat Khas itu, menurut kementerian berkenaan mencerminkan komitmen ASEAN terhadap prinsip perpaduan dan solidariti dalam kalangan negara anggota.
Ia juga menzahirkan pematuhan kepada Kepusatan ASEAN dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, selaras dengan Piagam ASEAN serta Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia – TAC).
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menegaskan komitmen untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam memudah cara dialog berlandaskan semangat ASEAN.
“Dalam hal tersebut, untuk membantu kedua-dua pihak agar terus menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, hubungan kejiranan yang baik dan kewujudan bersama secara aman, serta kerjasama dua hala dan pelbagai hala ke arah mencapai penyelesaian yang aman, adil dan berkekalan terhadap sebarang pertikaian,” kata kementerian itu lagi.
Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, ASEAN memandang serius ketegangan yang berlaku antara Kemboja dan Thailand kerana ia berpotensi menjejaskan imej rantau ini di mata dunia, sekali gus merugikan negara-negara anggota.
Beliau turut menyatakan harapan agar Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN yang dijadualkan berlangsung esok dapat membantu menghentikan konflik berkenaan, selaras dengan usaha ASEAN untuk memastikan keamanan, kesejahteraan dan kestabilan rantau ini terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















