Logo Suruhanjaya Syarikat Malaysia

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan program Klinik Pematuhan bermula tahun depan sebagai inisiatif sokongan membantu syarikat menghadapi kesukaran mematuhi peruntukan perundangan, termasuk kegagalan menyediakan Penyata Kewangan (PK) secara teratur.

Program itu juga bermatlamatkan tindakan pemulihan dilaksanakan dalam tempoh yang bersesuaian sekali gus meningkatkan kefahaman syarikat dan pengarah terhadap obligasi di bawah Akta Syarikat 2016 (AS 2016).

SSM menambah, pihaknya dalam masa yang sama bersedia mempertimbangkan pengurangan kadar kompaun sekiranya syarikat menunjukkan komitmen yang jelas ke arah pematuhan.

Dalam mendukung usaha memudahkan pematuhan (facilitating compliance), SSM kekal komited untuk membantu syarikat memahami dan mematuhi keperluan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut kenyataan tersebut, syarikat yang telah dikompaun akan dijemput menghadiri Klinik Pematuhan bagi mendapatkan khidmat nasihat tindakan pemulihan.

Sekiranya tindakan pemulihan yang dipersetujui dilaksanakan, pengurangan kompaun substansial akan diberikan, tambah kenyataan itu.

Katanya lagi, selain itu, langkah pemotongan nama syarikat daripada daftar bagi pertimbangan pengurangan kompaun tertunggak boleh boleh dilaksanakan untuk syarikat yang tidak aktif.

“Usaha meningkatkan pematuhan akan diteruskan melalui pendekatan menyeluruh termasuk peringatan, tindakan pentadbiran, penguatkuasaan undang-undang serta pelaksanaan program latihan kepada pegawai syarikat dan intermediari korporat,” ujarnya.

Dalam pada itu, SSM memberi jaminan akan terus konsisten melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan pematuhan AS 2016 demi melindungi integriti persekitaran korporat Malaysia serta memupuk ekosistem perniagaan yang telus, boleh dipercayai dan mesra pelanggan.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merayu supaya SSM mempertimbangkan semula kadar kompaun sehingga mencecah RM40,000 terhadap pemilik syarikat yang didapati melanggar seksyen 245, 248, 258, dan 340 di bawah Akta Syarikat 2016 .

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata tindakan tersebut dilihat membebankan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kompaun RM40,000 tak masuk akal, bebankan SME – DPMM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast