Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) merayu supaya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mempertimbangkan semula kadar kompaun sehingga mencecah RM40,000 terhadap pemilik syarikat yang didapati melanggar seksyen 245, 248, 258, dan 340 di bawah Akta Syarikat 2016 .

Presidennya, Norsyahrin Hamidon menegaskan, tindakan tersebut dilihat membebankan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME).

Jelas beliau, pihaknya menerima pelbagai rungutan dan aduan mengenai langkah berkenaan yang dilihat sebagai tidak selari dengan tindakan SSM mengurangkan kos pematuhan audit syarikat kepada syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Dengan demikian, tindakan mengenakan kompaun yang tinggi bukan sahaja akan memberi kesan kepada operasi syarikat tetapi juga akan mengakibatkan syarikat SME gulung tikar kerana tidak mampu membayar kompaun setinggi RM40,000 dan boleh meningkatkan kadar pengangguran yang lebih tinggi.

“Ini tentunya sesuatu yang tidak diingini dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.

Menurut Norsyahrin, SME memainkan peranan penting dalam menjaga kestabilan ekonomi negara apabila menyumbang sekitar 38.3 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam masa yang sama, SME juga menjadi majikan kepada hampir 66 peratus daripada tenaga kerja di negara ini.

Untuk rekod, pada penghujung tahun 2024, SSM telah memberikan pengecualian audit kepada syarikat kecil di Malaysia (PKS) yang memenuhi syarat tertentu seperti hasil tahunan bawah RM3 juta atau kurang 30 pekerja.

Ia bertujuan mengurangkan kos dan memudahkan urusan; syarikat yang layak masih perlu hantar penyata kewangan tidak diaudit, manakala PKS dengan hasil kurang RM1 juta dikecualikan sepenuhnya audit mulai 2025.

Kriteria baharu berkenaan dijangka memberi manfaat kepada PKS khususnya mengurangkan kos pematuhan serta memastikan kecekapan dan ketelusan amalan tadbir urus korporat terus berada pada tahap terbaik.

Namun Norsyahrin berpendirian, langkah terbaharu yang diambil oleh SSM menerusi penetapan jumlah kompaun berkenaan tidak selari dengan inisiatif mengurangkan kos pematuhan audit syarikat kepada syarikat PMKS dengan hasil kurang RM1 juta dikecualikan sepenuhnya audit mulai 2025.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast