KUALA LUMPUR – Hantaran Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin mengenai keputusan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan Titah Adendum Datuk Seri Najib Razak hari ini dianggap sebagai biadab.
Dalam masa yang sama, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menganggap Setiausaha Publisiti DAP itu tidak sensitif dan tidak menghormati rakan permuafakatan politik.
Ujarnya, Bee Yin tidak sewajarnya memuat naik hantaran tersebut tatkala UMNO kini berduka cita terhadap keputusan mahkamah yang tidak membenarkan Najib menjadi tahanan di rumah.
“Di saat keluarga malah UMNO berdukacita kerana DS Najib gagal dalam permohonan tahanan rumah ada pula ahli Parlimen DAP yang merayakannya.
“Di saat Kerajaan Perpaduan terbina dengan kerjasama Barusan Nasional (BN) tidak sepatutnya kenyataan sebegini keluar dari seorang yang berstatus ahli parlimen,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bee Yin hari ini memuat naik hantaran berbunyi; ‘Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ sambil memuat naik berita keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum hari ini.
Hantaran tersebut dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.- MalaysiaGazette
















