KUALA LUMPUR – Kenyataan anda sangat jijik, tempelak Tan Sri Noor Azlan Ghazali.
Kata-kata pedas itu dibuat bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang mengekalkan baki hukuman di Penjara Kajang ke atas Datuk Seri Najib Razak.
Tegas beliau, kenyataan Bee Yin ternyata merosakkan keharmonian kaum, membangkitkan kebencian dan mencetuskan perbalahan.
Tokoh Pendidikan dan Ekonomi Malaysia itu berkata, kenyataan Bee Yin mengecewakan.
“Saya tidak mempersoalkan kes yang dihakimi. Saya persoalkan kenyataan yang dipostkan di bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azlan turut berkongsikan hantaran Bee Yin yang dibuat menerusi Facebook.
Tegas Noor Azlan, keharmonian kaum amatlah penting untuk negara ini dan kita semua bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian ini untuk Malaysia.
Bee Yin merangkap Setiausaha Publisiti DAP menerusi Facebook memuat naik status “Antara yang perlu diraikan menjelang hujung tahun” sambil memuat naik keputusan Mahkamah Tinggi terhadap penolakan semakan kehakiman yang dibuat Najib hari ini.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Susulan keputusan berkenaan, Najib diperintahkan untuk menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.
Isu berkenaan terus menjadi perhatian pelbagai pihak dan mengundang perbahasan awam mengenai adab berpolitik serta tanggungjawab pemimpin dalam mengeluarkan kenyataan. – MalaysiaGazette
















