ACEH – Tiada siapa dapat meneka apa yang tersirat di sebalik raut wajah dan senyuman mangsa banjir besar di Desa Geudumbak, Aceh Utara, Indonesia bulan lalu selepas mengharungi satu tragedi kemanusiaan tidak pernah dibayangkan.
Namun segala kedukaan dan kepahitan hidup itu dapat ditelan untuk sementara apabila menerima kunjungan orang luar dan para penyumbang yang perihatin dengan nasib mereka kerana sebelum ini seperti diabaikan.
Kira-kira 100 rumah di desa tersebut musnah dan hanyut selain tanaman, kebun dan haiwan ternakan turut terkorban dalam banjir besar yang disifatkan antara paling dahsyat dalam sejarah Aceh.
Kegembiraan terpancar pada wajah mereka kerana Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasar Raya Econsave datang menghulurkan tangan membantu mereka yang dalam kesusahan.
MyCare dan Pasar Raya Econsave menyumbangkan seekor lembu untuk dibuat dimakan beramai-ramai di surau desa tersebut dan masih menjadi tempat perlindungan mangsa banjir yang kehilangan rumah.
Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam berkata, lembu berkenaan dibuat kenduri untuk hampir 1,000 mangsa banjir di pusat itu dan kawasan sekitarnya.
“Kita mahu berkongsi rezeki dengan mereka kerana sebelum ini ramai penduduk yang terperangkap dalam banjir di desa ini selama beberapa tidak makan selama dua atau tiga hari.
“Selepas banjir surut mereka makan seadanya dalam keadaan bekalan air dan elektrik tidak ada,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau Desa Geudumbak Aceh Utara, semalam yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan bantuan.
Misi tersebut dianjurkan MyCare dan Pasar Raya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir terutama di Sumatera dan Aceh.
Turut hadir Ketua Projek MyCare, Noorsyazli Rameli merangkap Ketua Misi Kemanusiaan Sumatera 2025.
Mengulas lanjut, Mas Imran berkata, selain itu, pihaknya turut menyumbangkan sayur-sayuran, buah-buahan tempatan dan telur dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 itu.
Katanya, MyCare dan Pasaraya Econsave menyumbangkan RM100,000 dalam misi tersebut termasuk derma yang disumbangkan rakyat Malaysia.
“Antara bantuan yang kita berikan seperti 300 kanvas untuk mangsa banjir mendirikan khemah untuk tempat tinggal sementara. Kita juga adakan dapur umum iaitu 200 pek makanan setiap hari selama 10 hari diberikan kepada penduduk.
“Bagi jangka masa panjang kita rancang dirikan Rumah Senyum untuk penduduk yang rumahnya musnah dan dihanyutkan banjir hujung bulan lalu. Kita akan mula bina pada Januari tahun depan dengan kos antara RM2,000 hingga RM3,000,” katanya.
Katanya, pihaknya juga menyumbangkan dua lori tangki air besar untuk digunakan mangsa banjir terutama yang ditempatkan di surau desa tersebut.
Bekalan air itu, katanya, cukup untuk digunakan dalam tempoh kira-kira satu minggu, bukan sahaja mangsa banjir yang ditempatkan di surau itu boleh memanfaatkannya tetapi juga mereka yang tinggal berdekatan
“Kita turut menyumbangkan ubat-ubatan peserta misi kepada mangsa banjir seperti ubat deman dan batuk kerana bekalan sedia ada tidak mencukupi,” ujarnya.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette
















