Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Pokok Sena menggesa semua menteri UMNO meletakkan jawatan dalam kerajaan sebagai bantahan terhadap penghinaan pemimpin DAP terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Mohd Farhan Ahmad berkata, pemimpin-pemimpin UMNO perlu berani mengambil langkah ini untuk melindungi dan mempertahankan kepentingan, maruah serta integriti parti Melayu itu.

“Tindakan ini adalah bentuk protes jelas dan tegas terhadap ketidakadilan yang berlaku serta penghormatan kepada maruah UMNO serta Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita tidak boleh dilihat lemah dan gagal dalam mempertahankan maruah serta integriti parti,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran berbunyi; ‘Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ bersama pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum, hari ini.

Hantaran tersebut dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincang mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Farhan juga menggesa pemimpin UMNO mengambil langkah strategik dengan kembali ke meja rundingan dan mempertimbangkan semula pembentukan kerajaan bersama parti-parti lain yang mempunyai keprihatinan terhadap perjuangan Najib.

“Kerajaan dibentuk mestilah kerajaan yang menghormati prinsip keadilan, kebajikan rakyat dan menghargai pemimpin yang telah banyak berjasa kepada negara.

“Pemimpin-pemimpin UMNO perlu bertindak tegas kerana UMNO tidak boleh dilihat lemah atau gagal dalam mempertahankan prinsip-prinsip perjuangannya,” katanya.

Selain itu, kata Farhan, Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan pembentukan Kerajaan Madani perlu dibawa ke mahkamah bagi menilai kesahihannya.

“Pemimpin UMNO perlu memberi sokongan penuh proses ini dan memastikan tiada pihak boleh mencabuli prinsip undang-undang dan sistem demokrasi yang telah kita amalkan,” katanya.

Menurut Farhan, UMNO juga harus menilai semula kedudukannya dalam kerajaan sekiranya tindakan parti-parti komponen kerajaan boleh mengancam integriti, kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

“Kami tidak akan teragak-agak membuat keputusan yang tegas demi menjaga kepentingan UMNO, rakyat, dan negara.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam perkara yang boleh merosakkan masa depan parti dan negara,” katanya.

Tegas Farhan, semua pimpinan dan ahli UMNO termasuk wakil rakyat perlu berdiri teguh dalam memastikan parti Melayu itu tidak tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menghina maruah parti dan pemimpinnya.

“Kepimpinan UMNO perlu berani mengambil langkah yang tepat untuk menjaga kepentingan parti dan memastikan kita tidak kelihatan lemah di hadapan rakyat dan musuh-musuh politik kita.

“UMNO akan terus berjuang dengan tegas dalam memastikan keadilan ditegakkan, dan setiap pemimpin yang telah memberi khidmat kepada negara tidak dihina sesuka hati.

“Kami akan bertindak secara profesional, tetapi tetap tegas dalam memastikan suara rakyat dan kepentingan negara terus dihormati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast