Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi keputusan berhubung kesahihan serta pelaksanaan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kandungan Titah Adendum yang dipohon Datuk Seri Najib Razak tidak menunjukkan keadaan mendesak yang mewajarkan Mahkamah Tinggi membenarkan beliau dipindahkan serta merta ke kediamannya dari Penjara Kajang.

Hakim Alice Loke Yee Ching berpendapat, kandungan tersebut merupakan tambahan kepada perintah pelepasan awal yang dibenarkan oleh Lembaga Pengampunan pada 29 Januari tahun lalu.

“Jika pengurangan hukuman dibincangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan, tiada sebab isu tahanan rumah tidak dibincangkan sama.

“Selain itu, mekanisme tahanan rumah tidak boleh dikuatkuasakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi membolehkan ia dilaksanakan di negara ini,” ujar beliau ketika membacakan penghakimannya sewaktu menolak permohonan semakan kehakiman Najib.

Peguam mewakili bekas Perdana Menteri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah selepas hadir keputusan berhubung kesahihan serta pelaksanaan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2025.

Hakim Alice selanjutnya menyatakan, pasukan peguam sebelum ini berhujah, mekanisme pelaksanaan termaktub di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995 serta Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 mengenai release on licence.

Namun, ujarnya, mahkamah mentafsir kuasa release on licence itu merupakan kuasa statutori Ketua Pengarah Penjara yang mempunyai budi bicara menetapkan tempoh dan syarat serta banduan boleh dipanggil semula ke penjara pada bila-bila masa.

“Ini bukan mekanisme untuk pelaksanaan sebagai tahanan rumah seperti dalam titah adendum yang dipohonnya,” ujar beliau.

Dalam penghakimannya, Hakim Alice turut menyatakan, meskipun YDPA mempunyai kuasa mutlak dan fungsi untuk memberi pengampunan, kuasa prerogatif itu perlu mematuhi Perlembagaan dan dilaksanakan dalam kerangka undang-undang.

Beliau berpandangan, pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan mesti dilakukan mengikut prosedur di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 42 menetapkan proses membuat keputusan melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan, pertimbangan pendapat bertulis Peguam Negara dan lembaga menasihati YDPA sebelum baginda membuat keputusan.

“Hanya dengan pematuhan kehendak perlembagaan ini barulah sesuatu perintah dianggap sah,” katanya.

Hakim Alice selanjutnya menyatakan, perintah tahanan rumah mengubah secara signifikan sifat pemenjaraan, jadi penting ia dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42.

Katanya, Mahkamah Tinggi juga diperkukuh oleh pandangan Mahkamah Persekutuan bahawa kuasa pengampunan tertakluk kepada had prosedur dalam Perkara 42 dan pelaksanaannya tidak mutlak.

“Ia mesti dibuat mengikut kerangka nasihat dan prosedur yang termaktub, termasuk keperluan mesyuarat Lembaga Pengampunan dihadiri dan dipengerusikan YDPA,” ujarnya.

Menurut Hakim Alice, peguam Najib ketika berhujah membangkitkan isu bahawa Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan tidak menghendaki keputusan muktamad Seri Paduka dibincangkan atau dilafazkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Menurut pasukan peguam, YDPA tidak perlu mematuhi atau bersetuju dengan saranan Lembaga Pengampunan, meskipun baginda mempengerusikan sidangnya, namun hujahan itu tidak dipersetujui mahkamah.

Pada prosiding itu, pasukan peguam diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Wan Muhammad Arfan Wan Othman.

Responden-responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Nur Hafizah Azizan.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri gagal memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara tiga tahun sebagai tahanan rumah.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Dengan keputusan itu, bekas Presiden UMNO kekal menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International sejak 23 Ogos 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast