MELAKA – Seorang warga emas berusia 64 tahun melecur selepas bilik sewa didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Rama Pantai di sini tengah hari tadi.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Penguasa Kanan Bomba II, Khir Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.28 tengah hari melibatkan dua buah rumah dua tingkat berkeluasa 20 X 50 kaki persegi
“Terdapat mangsa lelaki mengalami kecederaan melecur kira-kira 50 peratus dan telah diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Melaka.

“Kita difahamkan oleh jiran, rumah ini dijadikan beberapa bilik sewa yang mana bahagian tingkat atas adalah papan manalala bahagian bawah binaan batu,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.
Menurut Khir Amir,seramai 15 anggota terlibat dalam operasi tersebut membabitkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta sebuah Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
“Cabaran utama dalam operasi ini ialah untuk mengawal api daripada merebak ke rumah bersebelahan yang terletak begitu hampir antara satu sama lain.
“Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.50 petang dan operasi pemadaman masih diteruskan bagi kerja-kerja ‘overhaul’ serta memastikan tiada punca api tersembunyi,” katanya.
Setakat ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong ketika ditemui di lokasi berkata,
kebakaran membabitkan dua rumah papan yang menempatkan kebanyakan bilik sewa, didiami warga tempatan dan warga Rohingya.
“Mangsa cedera warga emas berusia 64 tahun dikejarkan ke hospital manakala 12 lagi mangsa lain terdiri daripada warga tempatan dan Rohingya terselamat.
“Kita akan melihat bentuk bantuan yang sesuai untuk disalurkan dan berharap kesemua mangsa dapat bersabar dengan ujian ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















