Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

KUALA LUMPUR – Pelik, ajaib dan aneh.

Demikian reaksi peguam kanan, Haniff Khatri Abdulla yang mempersoalkan tindakan mengejut Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mengeluarkan kenyataan media berhubung status kes pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi satu video, Haniff Khatri berkata, kenyataan empat perenggan yang dikeluarkan oleh AGC baru-baru ini dianggap satu ironi besar memandangkan jabatan itu telah memilih untuk mengunci mulut rapat selama lebih dua tahun.

“Sepanjang tempoh dua tahun tiga bulan dan 18 hari, tidak ada satu pun penjelasan diberikan mengenai perkembangan siasatan mahupun tindakan susulan berhubung 47 pertuduhan membabitkan Ahmad Zahid meskipun janji telah dibuat oleh pihak pendakwaan sebelum ini.

“Tiba-tiba… apabila dilaporkan ada tindakan (semakan kehakiman) difailkan di mahkamah, baru AGC ada kemunasabahan untuk mengeluarkan kenyataan.

“Pokoknya, untuk tempoh lebih dua tahun ini, tidak ada satu pun kenyataan dikeluarkan untuk memberi penjelasan berkaitan siasatan, perkembangan mahupun tindakan lanjut,” katanya.

Haniff Khatri berkata, turut menarik perhatian umum adalah pada perenggan keempat kandungan kenyataan AGC yang menurutnya bersifat cuba mengelak daripada kebertanggungjawaban sebenar.

“AGC kini menggunakan alasan bahawa perkara tersebut sedang berada di bawah pertimbangan mahkamah bagi mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut mengenai merit permohonan tersebut.

“Tetapi anehnya, perenggan tersebut berbunyi ‘memandangkan perkara ini kini berada di bawah pertimbangan mahkamah, jabatan ini tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.’

“Adakah ini satu justifikasi yang cuba disandarkan oleh AGC untuk mengiyakan ketiadaan sebarang kenyataan bagi tempoh dua tahun yang lalu?” soalnya.

Kenyataan AGC ini dipercayai tercetus susulan laporan sebuah portal berita mengenai tindakan seorang peguam memfailkan semakan kehakiman bagi menuntut penjelasan mengapa kes DNAA tersebut dibiarkan ‘tergantung’ tanpa penyelesaian muktamad.

“Saya menyifatkan situasi ini sebagai sesuatu yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara di mana sebuah agensi persekutuan utama menggunakan pemfailan mahkamah oleh pihak ketiga sebagai ‘perisai’ untuk menghalalkan tindakan mereka yang berdiam diri selama bertahun-tahun.

“Ini bukan cara satu agensi persekutuan, apatah lagi AGC membuat tindakan diam untuk tempoh yang begitu lama.

“Bila orang cabar ketiadaan perkembangan, baru keluar kenyataan kononnya kami tidak boleh buat apa-apa kenyataan lagi kerana perkara ini berada di mahkamah. Ini benar-benar pelik bin ajaib,” tegasnya.

Isu DNAA Zahid Hamidi kembali menjadi tumpuan panas apabila rakyat terus mempersoalkan kebertanggungjawaban institusi perundangan negara dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan pemimpin utama kerajaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Permohonan DNAA Ahmad Zahid berlandaskan undang-undang – AGC

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast