case item The Attorney-General’s Chamber (AGC) in Putrajaya. PIX: FAREEZ FADZIL / MalaysiaGazette / 04 NOVEMBER 2020. Hasanah Abdul Hamid US$6.94 million case item MACC MEIO
Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, keputusan untuk memohon Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan penyelewengan dana Yayasan Akalbudi pada 2023, dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.

Jabatan itu dalam kenyataan hari ini berkata, permohonan tersebut yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi dua tahun lalu, dilakukan berdasarkan keadaan semasa ketika itu serta mengambil kira keperluan untuk menjalankan siasatan lanjut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Konvokesyen Ke-3 Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

Menurut kenyataan itu, jabatan tersebut merujuk kepada laporan sebuah portal hari ini yang menyatakan satu permohonan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan hakim berlainan pada 4 September 2023 yang mengeluarkan perintah DNAA terhadap Timbalan Perdana Menteri.

“Permohonan semakan kehakiman tersebut membangkitkan isu berkaitan kemajuan dan hasil siasatan yang dirujuk ketika permohonan DNAA dibuat.

“Jabatan ini maklum  perkara ini melibatkan persoalan penting berkaitan keyakinan awam serta pentadbiran keadilan yang wajar.

“Memandangkan perkara ini kini berada di bawah pertimbangan mahkamah, jabatan ini tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung merit permohonan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, AGC akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada proses pengadilan, menangani perkara ini melalui saluran undang-undang yang ditetapkan, serta mematuhi sebarang arahan atau keputusan mahkamah,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi di sini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang memaklumkan AGC berhasrat memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Media hari ini melaporkan peguam Datuk Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim memfailkan permohonan itu, antara lain bagi memohon perintah mandamus mengarahkan Peguam Negara dan pendakwa raya untuk menyelesaikan siasatan dan semakan berhubung pelepasan tanpa pembebasan yang diberikan terhadap Ahmad Zahid.

Peguam itu memfailkan semakan kehakiman hari ini yang meminta Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Peguam Negara sama ada meneruskan atau menghentikan secara rasmi pendakwaan terhadap Ahmad Zahid berhubung kes Yayasan Akalbudinya.

Beliau memfailkan permohonan itu bagi mendapatkan penjelasan dan akauntabiliti berikutan perintah DNAA sambil menegaskan  permohonan itu tidak mencabar budi bicara Peguam Negara untuk memberikan DNAA tetapi bertujuan untuk memastikan penyiasatan akhir dan keputusan akhir dibuat.

Peguam itu mahukan Mahkamah Tinggi mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memuktamadkan siasatan yang membawa kepada DNAA ke atas 47 pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Beliau berkata kelewatan yang berpanjangan mewujudkan layanan tidak sama rata kepada pegawai kanan berbanding orang tertuduh biasa dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast