Lilis Saslinda melakukan tinjauan bekalan sempena pelancaran SHMMP Krismas 2025 di Jaya Grocer Toppen, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Johor merekodkan 354 kes atas pelbagai kesalahan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) libatkan tiga perayaan setakat ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, dapatan itu direkodkan hasil pemeriksaan berterusan di 1,233 premis.

Jelasnya, ini melibatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha dan  Deepavali di seluruh negeri.

“Statistik ini meningkat hampir 80 peratus iaitu sebanyak 78 kes sepanjang SHMMP bagi musim perayaan utama pada tahun lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 343 kes dikesan berpunca daripada kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga merah jambu bagi barangan kawalan yang sepatutnya menjadi panduan utama pengguna,” katanya  ditemui sempena pelancaran SHMMP Krismas 2025 di Jaya Grocer Toppen di sini hari ini.

Beliau berkata, ini diikuti kesalahan tidak meletakkan tanda harga (enam kes) dan meletakkan harga melebihi daripada harga kawalan (lima kes) sepanjang perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Katanya, ketiadaan mempamerkan tanda harga merah jambu menyebabkan pengguna tidak tahu harga sebenar barang di bawah skim kawalan dan satu kesalahan serius.

Menurut Lilis Saslinda, pihaknya akan terus memberikan advokasi kepada peniaga bagi mengelakkan kesalahan berulang kali.

Ujarnya, dua hari pertama pelaksanaan skim memberi fokus kepada pendekatan advokasi, namun tindakan tegas termasuk kompaun dan pendakwaan akan diambil sekiranya peniaga terus ingkar.

“Kita tidak mahu peniaga ambil mudah. Undang-undang di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan dikuatkuasakan sepenuhnya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, SHMMP Krismas 2025 dilaksanakan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Disember, melibatkan sembilan barangan kawalan di Johor daripada 14 item di peringkat nasional.

Antara barangan terbabit ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kentang, kubis bulat, lobak merah dan cili merah, yang menjadi keperluan utama pengguna sepanjang musim perayaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast