KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak semakan kehakiman Datuk Seri Najib Razak, tidak sama sekali mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Raja-Raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri (YDPN) ketika memberikan pengampunan kepada pesalah.
Dalam kenyataan hari ini, agensi itu menjelaskan, mahkamah telah menekankan bahawa pengampunan adalah kuasa prerogatif YDPA dan terjamin di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diputuskan dalam keputusan duluan mahkamah atasan.
Namun begitu, menurut AGC, selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan, kuasa pengampunan perlu dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat sebagaimana dinyatakan di bawah Perkara 42.

Kenyataan itu merujuk kepada keputusan Hakim Alice Loke Yee Ching semalam yang menolak semakan kehakiman bekas Perdana Menteri untuk memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara tiga tahun sebagai tahanan rumah.
“Yang Arif Hakim dalam penghakiman lisannya telah mengiktiraf kuasa prerogatif YDPA, Raja-Raja Melayu serta YDPN yang mana kuasa pengampunan ini tidak boleh dilakukan oleh mana-mana pihak lain.
“Namun Perkara 42 juga memperuntukkan bahawa dalam menjalankan kuasa prerogatif tersebut, YDPA, Raja-Raja Melayu serta YDPN akan bersidang bersama Lembaga Pengampunan dalam memutuskan sesuatu permohonan pengampunan,” ujar kenyataan itu.
AGC merujuk laporan beberapa saluran media semalam mengenai kenyataan pasukan peguam Najib bahawa keputusan mahkamah tinggi menolak semakan kehakiman berkaitan titah adendum telah mengurangkan kuasa YDPA, Raja-Raja Melayu dan YDPN berkenaan pengampunan.
Jabatan itu menegaskan, kenyataan tersebut tidak benar sama sekali dan tidak mencerminkan alasan sebenar yang telah diberikan oleh mahkamah tinggi.
Menurut agensi itu, sebarang tindakan yang cuba menghasut dan menggugat ketenteraman awam dengan tafsiran yang salah terhadap penghakiman mahkamah adalah amat tidak wajar.
“Semua pihak perlu menghormati tindakan untuk merayu yang telah diambil oleh Datuk Seri Najib,” ujar kenyataan itu.
Agensi tersebut selanjutnya menjelaskan, Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Ke-61 jelas mendedahkan perihal berhubung tahanan rumah tidak pernah dibincangkan atau dititahkan oleh YDPA ke-16 semasa mesyuarat tersebut pada 29 Januari tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, mesyuarat tersebut hanya membincangkan permohonan pengampunan penuh oleh bekas perdana menteri dan titah Seri Paduka ketika itu hanyalah supaya hukuman penjara dikurangkan sebanyak 50 peratus.
Sehubungan itu, mahkamah tinggi memutuskan titah tambahan untuk tahanan rumah tidak dibuat berdasarkan Perkara 42 memandangkan perkara tersebut tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat dan tidak diputuskan oleh baginda dalam mesyuarat yang sama.
Dalam hal ini, keputusan mahkamah tinggi telah menjelaskan dengan terperinci perjalanan kuasa YDPA, Raja-Raja Melayu dan YDPN dalam memutuskan sesuatu pengampunan, sekali gus memperkukuh dan mengesahkan kuasa institusi diraja terutamanya dalam hal ehwal permohonan pengampunan.
Menurut jabatan itu, pihaknya akan terus komited mempertahankan institusi diraja dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam setiap tindakan yang diambil. – MalaysiaGazette
















