Anggota bomba menemui mayat lelaki yang lemas selepas bot dinaiki terbalik ketika memancing di Sungai Lenggor, Mersing malam tadi.

MERSING – Seorang Pembantu Khidmat Am Sekolah Kebangsaan (SK) Nitar 2 dekat sini yang keluar memancing di Sungai Lenggor bersama-sama dua saudaranya ditemui lemas.

Mohammad Putera Rizzurin Md Noh, 36, yang difahamkan baru bertukar ke SK tersebut pada Julai lalu ditemui meninggal dunia selepas bot dinaiki terbalik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Abdul Muiz Mukhtar berkata, mayat Putera Rizzurin berjaya dijumpai pukul 12.49 tengah malam tadi.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Mersing untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, dua lagi mangsa iaitu Muhammad Zul Hafeez Azman Adi, 29 dan Shahrul Izwan Sabaruddin, 36, berada dalam keadaan selamat.

Beliau berkata, sebelum itu, pihak bomba menerima panggilan khidmat khas mencari orang hilang di Loji Air di Felda Nitar 2 itu pada pukul 5.43 petang semalam.

Katanya, seramai 18 anggota dari BBP Mersing dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Kluang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi turut melibatkan kerjasama dari anggota polis dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seramai sembilan orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast