Tangkap layar video dimuat naik pemilik akaun 'Myer Travels' yang memaparkan pengalamannya berkunjung ke Masjid Sultan Abu Bakar.

JOHOR BAHRU – Tular dalam media sosial Instagram satu video dimuat naik pemilik akaun Myer Travels pada Sabtu lalu yang memaparkan pengalamannya berkunjung ke Masjid Sultan Abu Bakar di sini baru-baru ini.

Menerusi video seminit 14 saat itu, pemilik akaun memaparkan keadaan dalam dan luar masjid berkenaan dan turut memuji keindahan pembinaan masjid itu.

Bagaimanapun pada akhir video, pemilik akaun ditegur seorang individu yang melarangnya membuat rakaman video kerana mendakwa itu adalah peraturan masjid berkenaan tidak membenarkan membuat sebarang rakaman tanpa kebenaran.

Perbuatan tersebut kemudian mendapat perhatian Jawatankuasa Pengurusan Masjid Sultan Abu Bakar dan segera mengeluarkan kenyataan menegur perbuatan terbabit.

Menurut jawatankuasa tersebut, tindakan merakam dan menularkan kandungan tanpa kebenaran dalam kawasan masjid adalah tidak wajar dan bertentangan dengan adab, etika serta peraturan yang telah dikuat kuasakan.

Ia termasuk, kandungan yang dibuat turut merakam individu lain di dalam masjid tanpa kebenaran individu terbabit.

“Sebarang penggambaran dan rakaman video untuk tujuan siaran awam adalah tertakluk sepenuhnya kepada Garis Panduan Aktiviti Penggambaran di Masjid dan Surau Negeri Johor Tahun 2020 yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Pada dasarnya, pihak Jawatankuasa Pengurusan Masjid Sultan Abu Bakar tidak menolak kehadiran mana-mana pihak serta tidak menghalang aktiviti penggambaran di kawasan masjid.

“Namun demikian, sebarang penggambaran dan rakaman video untuk tujuan siaran awam adalah tertakluk sepenuhnya kepada garis panduan yang ditetapkan MAINJ,” maklum kenyataan itu.

Sehubungan itu, kenyataan itu memberitahu, mana-mana individu atau pihak berhasrat melaksanakan aktiviti penggambaran hendaklah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu melalui saluran yang telah ditetapkan.

Menurutnya, adalah ditegaskan pematuhan terhadap peraturan, adab serta sensitiviti institusi masjid adalah tanggungjawab bersama-sama.

Jelas kenyataan itu, prinsip menghormati undang-undang dan aturan setempat wajar dijadikan pedoman demi memelihara keharmonian, ketertiban serta kesucian rumah ibadat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast