KOTA TINGGI – Berbaki kurang seminggu lagi menjelang sambutan Krismas, trend meraikan perayaan itu di lokasi percutian khususnya di kawasan pantai semakin mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan pelancong antarabangsa.
Pengurus Pemasaran Lotus Desaru Beach Resort & Spa, Mohd Syukri Seliman berkata, destinasi pantai di Desaru antara pilihan utama pelancong dari Singapura, Australia, Indonesia, Thailand, Jepun dan India untuk menyambut Krismas bersama keluarga serta rakan-rakan.
Menurutnya, kebanyakan pelancong luar memilih Malaysia sebagai lokasi sambutan perayaan kerana keunikan negara ini yang mempunyai masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama yang hidup dalam suasana harmoni serta saling menghormati antara satu sama lain.
“Pelancong luar amat tertarik dengan suasana sambutan perayaan di Malaysia yang diraikan secara bersama tanpa mengira latar belakang.
“Mereka dapat menikmati perayaan Krismas dalam suasana aman, meriah dan penuh semangat perpaduan,” katanya ketika ditemui.
Mohd Syukri berkata, trend tersebut turut dapat dilihat menerusi peningkatan ketara tempahan bilik di resort itu sejak tiga bulan lalu, khususnya bagi tempoh cuti akhir tahun dan musim perayaan Krismas.
“Tempahan daripada pelancong antarabangsa menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, selaras dengan pemulihan sektor pelancongan dan promosi agresif negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Mohd Syukri menambah, lokasi pantai menjadi pilihan kerana menawarkan pengalaman berbeza termasuk aktiviti santai, pemandangan laut yang indah serta pakej sambutan Krismas yang disesuaikan dengan citarasa pelancong antarabangsa.
Beliau optimis trend itu akan terus berkembang dan memberi impak positif kepada industri pelancongan tempatan, khususnya di Desaru dan daerah ini sekali gus menyokong sasaran negara untuk meningkatkan ketibaan pelancong asing dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Katanya, sambutan perayaan di lokasi percutian bukan sahaja menghidupkan sektor pelancongan, malah mengukuhkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra budaya dan agama. – MalaysiaGazette
















