Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib

KUALA LUMPUR – Anak Datuk Seri Najib Razak, Datuk Nazif hari ini meluahkan perasan kecewa terhadap keputusan kes melibatkan ayahnya dan tindakan sesetengah pihak ‘meraikannya’.

“Semalam adalah satu hari yang amat menyedihkan buat keluarga kami. Walaupun saya sedar ada pihak yang gembira dan meraikannya, saya juga dapat melihat dengan jelas di media sosial wajah sebenar mereka yang memilih untuk bersorak atas keputusan semalam.

“Saya kenal ayah saya. Bossku tidak akan mengalah. Beliau akan terus berjuang. Namun sebagai seorang anak, dengan setiap halangan dan ujian yang berpanjangan ini, saya tidak dapat menahan persoalan — bilakah semua ini akan berakhir? Bilakah ia dianggap cukup bagi mereka?” soalnya dalam kenyataan peribadinya hari ini.

Menurut Ketua Bahagian UMNO Langkawi itu, kesedihannya bukan semata-mata kerana ayahnya tetapi kerana makna di sebalik keputusan itu.

“Selama puluhan tahun, UMNO memperjuangkan prinsip tertinggi — menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mematuhi setiaptitah serta perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Namun dalam sekelip mata, semalam, maruah dan kedudukan institusi tersebut seolah-olah runtuh.

“Keputusan itu membawa maksud bahawa apa-apa titah atau dokumen Diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan. Ini satu implikasi yang amat besar dan mendalam terhadap sistem yang selama ini kita junjung,” katanya.

Soal Nazif, jika itu pendirian kerajaan, mengapa perkara ini tidak dinyatakan dari awal.

“Mengapa kami perlu berulang-alik ke mahkamah selama ini, memperjuangkan kewujudan satu addendum yang kini dikatakan tidak sah kerana isu proses?

“Saya secara peribadi percaya addendum itu adalah sah. Selama ini, kefahaman saya — dan kefahaman ramai — ialah Lembaga Pengampunan hanyalah bersifat nasihat, manakala kuasa sebenar terletak pada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Namun semalam, dakwanya, mesej yang diterima amat jelas: kuasa itu kini terletak pada kerajaan, dan tanpa proses kerajaan, dokumen Diraja tidak membawa sebarang nilai.

“Jika begitu, bagaimana pula dengan kes-kes terdahulu yang juga mempunyai isu proses? Bagaimana seseorang boleh menjadi Perdana Menteri tanpa Lembaga Pengampunan yang lengkap dan ketika Peguam Negara berada dalam cuti khas? Di manakah konsistensi?

“Atau adakah semuanya ini sekadar satu pembohongan besar kepada rakyat Malaysia?” soalnya lagi.

Kepada mereka yang meraikan hakikat bahawa Najib Razak masih berada di Kajang — ingatlah, ini bukan hari pertama beliau di sana. Ia sudah memasuki tahun keempat, katanya.

“Dan jika benar kehendak Tuanku yang terdahulu, seperti yang dizahirkan melalui surat Istana, maka kerajaan hari ini sedang menahan Najib Razak secara tidak adil, bertentangan dengan kehendak tersebut.

“Lebih menyedihkan, bagi satu jenayah yang dilakukan oleh Jho Low, individu yang sehingga hari ini kerajaan sendiri tidak lagi menunjukkan kesungguhan untuk memburunya.

“Dan kepada mereka yang memilih untuk bergembira dan meraikan keputusan semalam — nikmatilah kemenangan politik terbesar anda: menjatuhkan sebuah kerajaan lama yang telah membina negara ini ke tahap hari ini.
Selain meraikan sabitan seorang ahli politik Melayu, apakah lagi yang telah dilakukan untuk rakyat — sama ada Melayu, Cina atau India?

“Saya percaya rakyat mampu menilai sendiri. Lihat sahaja apa yang berlaku di Sabah. Masa akan menentukan segalanya,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast