Danish Hairudin
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengecam kenyataan seorang peguam dikenali sebagai Mahajoth Singh yang didakwa bersifat provokatif, emosional dan cuba mencabar pihaknya dengan menetapkan garis masa tertentu di ruang awam.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, kenyataan berkenaan bersifat ‘drama’, selain percubaan meraih publisiti murahan serta tidak berasas.

“Siapakah Mahajoth untuk mencabar kami dan memberi garis masa?

“Sejak bila seorang peguam yang tugasnya mempertahankan anak guam di mahkamah bertukar peranan menjadi penentu jadual dan hakim politik di ruang awam?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahajoth yang juga peguam kepada ahli perniagaan Albert Tei telah memberikan tempoh 48 jam kepada AMK untuk membuat gesaan berhubung kebertanggungjawaban dan tindakan terhadap isu rasuah yang didakwa melibatkan tokoh berkaitan politik, termasuk individu yang mempunyai kaitan dengan kepimpinan parti itu sendiri.

Mahajoth turut menegaskan kegagalan AMK berbuat demikian akan membuktikan sayap pemuda itu sebagai pengecut serta tidak mempunyai komitmen tulen dalam memerangi rasuah.

Mengulas lanjut, Danish menegaskan, Mahajoth sepatutnya menumpukan kepada tanggungjawab profesional sebagai seorang peguam dan menjalankan tugas secara beretika tanpa berselindung di sebalik kenyataan politik yang sarat emosi dan sindiran semata-mata untuk meraih publisiti.

Beliau turut mengkritik cubaan Mahajoth mengaitkan beberapa kes yang diputuskan sebagai Discharge Not Amounting to Acquittal (melepas tanpa membebaskan, DNAA) sebagai bukti kegagalan sistem, sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, DNAA merupakan keputusan sah mahkamah yang dibuat oleh hakim berdasarkan prinsip undang-undang dan bukannya arahan politik, selain tidak membebaskan tertuduh sepenuhnya kerana pihak pendakwaan masih mempunyai ruang untuk menyambung atau memfailkan semula pertuduhan apabila siasatan lengkap.

“Keputusan DNAA mencerminkan kebebasan badan kehakiman, bukannya kelemahan sistem seperti yang cuba diputarbelitkan.

Danish juga mempersoalkan bagaimana seorang peguam yang meragui keputusan mahkamah secara terbuka, sambil menyifatkannya sebagai satu bentuk penghinaan terhadap institusi kehakiman dan kedaulatan undang-undang negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast