JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta penduduk di empat daerah di negeri ini bersedia susulan amaran hujan berterusan (waspada) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hujan berterusan selama empat hari bermula Jumaat ini di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

“Orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, peka terhadap perkembangan cuaca semasa serta mematuhi segala arahan dan nasihat pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan terus memantau situasi ini secara rapi dan berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan serta kebajikan Bangsa Johor sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, MetMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku pada 25 hingga 29 Disember ini yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan di timur Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, analisis terhadap model-model cuaca terkini juga menunjukkan angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di Laut China Selatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast