JOHOR BAHRU – Seorang pelakon tambahan dan seorang peniaga yang kedua-duanya warga Singapura didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dan bertengkar di Balai Polis Larkin.
Tertuduh, P Suresh, 46, membuat pengakuan bersalah manakala Chua Chin Heng, 56, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama-sama di hadapan Majistret A Shaarmini.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka secara bersama-sama berkelakuan tidak senonoh dengan bertengkar di kawasan Balai Polis Larkin pukul 6.15 petang, pada 21 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 90 akta polis dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sama.
Dalam mahkamah sama, Chin Heng turut berdepan satu lagi pertuduhan bersama-sama isterinya, Loe Sou Peng, 55, dan Axl Chua Kai Jun, 27, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan Suresh di sebuah pusat beli-belah di Jalan Serigala di sini, pukul 5.17 petang hari yang sama.
Sementara itu, menerusi prosiding mahkamah berlainan, Suresh mengaku bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam atas pertuduhan mencederakan Chin Heng di lokasi dan masa yang sama.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siti Aisyah Mustapha Kamal, Nor Deana Aqilah Aliman dan Siti Aishah Latif.
Keluarga Chin Heng diwakili peguam Muadz Zulkarnain dan Jagveer singh, manakala Suresh diwakili peguam Mehnagha Luckhamana.
Suresh pula diwakili peguam Mehnagha Luckhamana dan keluarga Chin Heng diwakili peguam Muadz Zulkarnain dan Jagveer Singh.
Mahkamah menjatuhkan denda RM1,900 kepada Suresh dan mahkamah turut membenarkan tiga beranak itu dengan jaminan RM19,000 dengan seorang penjaminn warga tempatan.
Mahkamah menetapkan 27 Januari ini bagi tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.
Terdahulu, media melaporkan dua lelaki warga Singapura ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan dalam kawasan Balai Polis Larkin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Kedua-dua lelaki itu terdahulu dilaporkan terbabit dalam pergaduhan pertama antara kedua-duanya di pusat beli-belah didakwa berpunca daripada ketidakpuasan hati apabila ditegur isteri seorang tertuduh mendakwa terkena air minuman bir yang tertumpah selepas salah seorang suspek hampir melanggarnya.- MalaysiaGazette
















