KUALA LUMPUR – Polemik di sebalik keputusan Mahkamah Tinggi bersabit kes titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak memperlihatkan kelemahan nyata UMNO Pahang.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, Datuk Jasri Jamaluddin berkata, UMNO hanya menumpang di dalam kerajaan, memegang jawatan gah tetapi tiada kuasa sebenar.
Menurutnya, pemimpin UMNO juga bercakap tentang tindakan, mengugut untuk keluar, namun akhirnya tiada tindakan yang diambil atau berlaku.
“Maruah dan kredibiliti parti (UMNO) dipersoalkan kerana kegagalan ini.
“Lebih baik UMNO Pahang membuat pilihan yang jelas: sama ada menjadi pembangkang yang tegas atau bekerjasama dengan PN untuk membentuk kerajaan Pahang yang baharu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Menurut Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, kegagalan UMNO bertindak hanya menunjukkan ketidakupayaan parti itu mempertahankan kepentingan rakyat dan institusi raja.
Katanya, pengampunan adalah luar biasa dan boleh termasuk syarat seperti pengawasan rumah.
Ujar beliau, penolakan titah adendum oleh mahkamah adalah atas alasan prosedur, bukan kerana jelas menyalahi Perlembagaan.
Namun, jelasnya, perkara itu menimbulkan persoalan serius tentang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tanggungjawab politik di peringkat negeri.
“Perlembagaan harus dibaca dengan seimbang dan berhemah.
“Menghormati kuasa sebenar Agong dan menilai kelemahan UMNO Pahang adalah penting untuk menjaga maruah, kuasa, dan integriti institusi negara,” katanya.
Terdahulu, menerusi hantaran sama, Jasri berkata, keputusan mahkamah melibatkan Najib itu juga menimbulkan risiko serius iaitu kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong boleh dilihat sebagai sekadar formaliti, tanpa makna sebenar.
Jelasnya, kuasa itu adalah hak prerogatif mutlak dan dokumen luar biasa tidak bermakna secara automatik tidak sah.
Malah, ujar beliau, Perlembagaan membenarkan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan, tetapi nasihat bukan kawalan.
“Kuasa pengampunan tetap milik Agong; Lembaga (Pengampunan) hanya memberi pandangan.
“Kekurangan rekod bertulis atau kegagalan kerajaan melaksanakan adendum tidak menafikan kesahannya,” kata beliau. – MalaysiaGazette
















