SUMATERA – Bencana banjir besar di Indonesia hujung bulan lalu khususnya di Sumatera Utara meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan fizikal dan kesihatan mental mangsa serta ahli keluarganya.
Mangsa banjir terbabit trauma selepas kehilangan tempat tinggal, kemusnahan harta benda, kematian ternakan dan hilang pekerjaan yang boleh mengakibatkan pelbagai kesan psikologi serta memerlukan perhatian segera.
Menyedari kesan tersebut, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dengan kerjasama Pasaraya Econsave menghulurkan bantuan.
MyCARE dan Pasaraya Econsave menyediakan khidmat bantuan awal psikologi terhadap kanak-kanak daripada keluarga mangsa banjir menerusi Misi Kemanusiaan Sumatera 2025.
Misi tersebut dianjurkan MyCare dan Pasaraya Econsave yang bermula 18 hingga semalam dalam usaha memberi pelbagai bantuan kepada mangsa banjir terutama di Sumatera dan Aceh.
Menurut aktivis dan sukarelawan MyCARE,Nur Syazwani Paiman, pasukan misi kemanusiaan pihaknya dengan kerjasama NGO Indonesia, Human Initiative (HI), melaksanakan aktiviti psikososial khusus untuk kanak-kanak mangsa banjir.
Katanya, aktiviti psikososial bersama anak-anak mangsa banjir lumpur itu dilakukan di Kampung Simpang 3 Pinggir Rel dalam kawasan Besitang, Langkat dekat sini.
Nur Syazwani berkata, aktiviti psikososial itu penting kerana menyedari keperluan sokongan emosi dalam situasi pasca bencana alam tersebut.
“Pelbagai aktiviti berasaskan belon diaplikasikan dalam permainan terapeutik, ekspresi emosi, aktiviti berkumpulan dan interaksi mesra kanak-kanak dijalankan dalam suasana selamat dan penuh empati.
“Gelak tawa yang terukir di wajah anak-anak, walaupun hanya seketika, menjadi tanda bahawa ruang emosi mereka mula dipulihkan,” katanya ketika ditemui.
Katanya, aktiviti itu bukan sekadar hiburan, tetapi bertujuan membantu kanak-kanak meluahkan perasaan, mengurangkan trauma, membina rasa selamat dan mengembalikan keyakinan diri selepas melalui pengalaman bencana.
Jelasnya, misi itu membuktikan bahawa pemulihan pasca bencana bukan hanya tentang membina semula rumah, tetapi memulihkan jiwa terutama jiwa anak-anak yang paling rapuh kesannya.
“Semoga usaha kecil ini menjadi cahaya harapan dan langkah awal kepada pemulihan yang lebih menyeluruh buat komuniti kampung terbabit,” katanya.
Beliau berkata, misi kemanusiaan itu turut disertai aktivis MyCARE lain Muhammad Afiq Zharif Abd Aziz, Isa Abu Bakar dan Norlizai Ibrahim dan sukarelawan HI.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette
















