Sulaiman bersama Azamah yang bergantung kepada tong oksigen akibat menghidap penyakit semput mengalami kesukaran kerana tiada bekalan elektrik sudah 18 hari di Flat Seri Perantau, Selat Klang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 Disember 2025.

KLANG – Bukan sehari dua tetapi sudah 18 hari penduduk Blok C, Flat Seri Perantau di sini sengsara akibat ketiadaan bekalan elektrik.

Ia berlaku selepas kebakaran di bilik sesalur elektrik (DB) pada 7 Disember lalu sehingga mengakibatkan sistem pendawaian bangunan berkenaan rosak.

Akibatnya lebih kurang 600 penduduk melibatkan 128 unit rumah di blok berkenaan terpaksa menanggung kesannya.

Seorang ibu mengipas anaknya di luar hadapan rumahnya susulan ketiadaan bekalan elektrik selama 18 hari di Flat Seri Perantau, Selat Klang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 Disember 2025.

Antara mangsa ada yang terpaksa berdepan dengan kesukaran sejak ketiadaan bekalan elektrik berkenaan adalah sepasang suami isteri yang merupakan warga emas masing-masing berusia 76 tahun.

Keadaan lebih buruk apabila Sulaiman Manan dan isterinya, Azamah Ismail menghidap semput yang agak teruk.

Keadaan kesihatan pasangan suami isteri yang hanya tinggal berdua itu memerlukan mereka menggunakan tong oksigen bagi membantu sistem pernafasan masing-masing.

Sulaiman Manan

Tong oksigen pula memerlukan bekalan elektrik untuk berfungsi.

Bimbang keadaan mereka, penduduk di situ bekerjasama untuk menggunakan dawai sambungan daripada Blok B bagi memastikan Sulaiman dan Azamah tidak keputusan bekalan elektrik.

Nasib baik ada penduduk di sini yang tolong kami berdua. Ini semua ujian Allah tapi dalam masa yang sama saya dan isteri yang hanya tinggal berdua memang memerlukan bekalan elektrik untuk tong oksigen kami berdua.

“Jadi tiada cara lain selain menyambung wayar daripada blok depan (Blok B) yang tidak terjejas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sudahlah semput, lif pula tidak dapat berfungsi akibat tiada bekalan elektrik.

Namun Sulaiman berkata, dia tetap menggagahkan diri turun naik dari tingkat tiga rumahnya selang beberapa hari untuk membeli keperluan harian mereka berdua.

“Saya naik dan turun tangga perlahan-lahan kalau mahu beli apa-apa. Sebab tidak ada cara lain,” ujarnya.

Selain itu, salah seorang penduduk blok itu M. Revathy, 58, pula berkata, dia dan keluarga sama sekali tidak membuat persiapan menyambut Hari Krismas esok.

Revathy Maniam

Ujarnya, ketiadaan bekalan elektrik lebih dua minggu menjadi penyebab dia dan lima anaknya tidak dapat membuat persiapan seperti tahun yang sebelumnya.

Malah penghidap penyakit jantung itu juga berkata, pergerakannya terhad sejak lif bangunan itu tidak berfungsi.

Tahun ini memang lain daripada yang sebelumnya. Sudahlah hidup memang ala kadar, elektrik tidak ada nak buat persiapan Krismas macam mana?

“Saya dan keluarga tidak ada buat apa-apa pun tahun ini. Nak keluar membeli barangan pun saya tidak larat sebab rumah saya di tingkat tujuh,” katanya yang berharap supaya masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

Seorang pengawal keselamatan P.  Jegan, 41, pula terpaksa menyewa generator atau mesin penjana elektrik daripada rakannya sejak 14 hari yang lalu demi keselesaan seisi keluarga.

Penduduk Flat Seri Perantau, Jegan memasang generator di rumahnya ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette susulan dakwaan bekalan elektrik terputus selama 18 hari di flat tersebut di Selat Klang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 Disember 2025.

Katanya, generator berkenaan disewanya pada kadar lebih kurang RM120 sehari.

Dalam masa yang sama, Jegan berkata, kos membeli minyak diesel untuk mesin berkenaan adalah lebih kurang RM50 sehari.

Selepas empat hari elektrik masih tidak ada, saya cari-cari tempat boleh sewa generator. Nasiblah ada kawan saya, saya belum bayar lagi ini, tapi selalunya dia bagitau harga sewa sehari pun cecah RM120.

“Banyak kos yang tidak perlu terpaksa digunakan pada waktu begini, sebab saya fikir keselesaan keluarga. Ini saya tapi orang lain yang mampu mungkin tidak dapat gunakan generator,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Blok C, Flat Seri Perantau, Azizul Anuar Abu Karim, 32, kecewa kerana sehingga kini tidak ada jalan penyelesaian ditawarkan oleh pihak yang mengendalikan flat berkenaan.

Azizul Anuar Abu Karim

Katanya, bukan sekadar terpaksa membelanjakan kos yang tidak sepatutnya, mental dan fizikal penduduk turut terjejas kerana dilema ketiadaan bekalan elektrik yang berpanjangan itu.

“Ada yang berniaga di pasar malam, nak berniaga pun tidak dapat bukan kerana tidak dapat memasak tetapi nak bawak naik turun barang tidak boleh sebab lif tidak berfungsi.

“Bila rumah tidak ada elektrik siapa saja nak hantar anak kepada pengasuh yang ada di sini? Saya difahamkan kalau pun ada kontraktor nak baiki pendawaian memerlukan satu hingga dua bulan pula.

“Sekarang ada yang perlu sambut Krismas, akan datang pula Tahun Baru Cina, lepas tu bulan Ramadan, Hari Raya pula. Kalau satu dua bulan bukan sekejap. Dalam masa yang sama, anak-anak nak kembali ke sekolah,” katanya.

Terdahulu, katanya, Flat Seri Perantau sejak 2003 dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebelum menyerahkan pengurusan kepada syarikat lantikan lain.

Namun, malangnya Azizul mendakwa syarikat itu hanya menghantar staf untuk berjumla dengan penduduk selepas kejadian berlaku tanpa memberi penyelesaian tuntas.

Sebaliknya alasan yang diberikan adalah syarikat tersebut tidak mempunyai wang untuk menanggung kerja baik pulih pendawaian bangunan blok itu.

“Banyak kali wakil syarikat datang berjumpa dengan kita (penduduk Blok C) tetapi yang datang bukan decision maker, hanya staf sahaja. Jadi kita tidak dapat jawapan yang tepat. Alasan yang diberikan duit tidak ada untuk buat kerja baik pulih,” tambahnya.

Penduduk mengambil udara di luar rumah susulan ketiadaan bekalan elektrik di Flat Seri Perantau, Selat Klang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 24 Disember 2025.

Justeru, Azizul berharap kerajaan negeri dapat membantu dan mengutamakan masalah yang dihadapi penduduk berkenaan.

“Saya sendiri hantar anak dan isteri balik kampung sebab kekangan keadaan bila tiada elektrik. Itu yang kita minta daripada kerajaan segerakan perkara ini. Tolonglah pandang perkara ini sebagai perkara kecemasan.

“Kalau tidak rasa tapi tolong anggap perkara ini hal kecemasan sebab sudah 18 hari kenapa responnya terlampau lambat,” tambahnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast