SUMATERA – “Banyak anak-kanak mangsa banjir dalam keadaan berlumpur berdiri depan rumah mereka yang dihanyutkan banjir besar bulan lalu untuk meminta bantuan hingga waktu malam.
“Dapat dilihat kesan banjir besar yang melanda Sumatera dan Aceh. Rumah hanyut, tanaman musnah, jalan terputus, surau dan masjid rosak. Mangsa banjir hilang ahli keluarga sementara anak kecil tidur kesejukan serta kelaparan.”
Itu situasi yang digambarkan Norlizai Ibrahim, aktivis dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasaraya Econsave semasa turun padang ke sini minggu ini.
MyCARE dan Pasaraya Econsave memberikan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir di Sumatera dan Aceh termasuk menyediakan khidmat bantuan awal psikologi terhadap kanak-kanak daripada keluarga mangsa banjir.
Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 itu bermula 18 hingga Selasa lalu dengan turut dibantu NGO Islamic Relief dan NGO Indonesia, Human Initiative (HI).
Norlizai berkata, misi kemanusiaan MyCARE dan Pasaraya Econsave kali ini mencabar dan mempunyai ujian tersendiri dalam keadaan banjir baru surut termasuk masih tiada bekalan air dan elektrik.
“Kemusnahan menyeluruh dapat dilihat disaksikan di pekan, bandar dan kampung selain jalan dan hospital hampir musnah sepenuhnya. Begitu juga kehilangan tempat tinggal sangat tinggi.
“Sepanjang misi di Malaysia sebelum ini, misi bantuan banjir lebih bersifat rutin, pantas dan domestik manakala di Aceh misi bantuan perlu fokus jangka panjang dan skala yang jauh lebih besar.
“Antara cabaran dihadapi perlu melalui jalan-jalan di sekitar kawasan hulu Aceh Tamiang mengambil masa yang lama untuk sampai ke tempat agihan mangsa banjir kerana jalan rosak.
“Sumber air sekitar surau atau masjid kampung yang dijadikan penempatan sementara mangsa banjir pula keruh dan berpasir,” katanya ketika ditemui.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan bagi misi akan datang boleh melalui MyCare menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette – MalaysiaGazette
















