SEBERANG PERAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun nyaris lemas dalam kolam kanak-kanak sedalam 90 sentimeter di Taman Tema, Kompleks Sukan dan Rekreasi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Jalan Betek di sini, semalam.
MBSP dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden jam 5 petang itu disedari anggota penyelamat kolam yang sedang bertugas sebelum bertindak pantas mengikut prosedur operasi standard (SOP) mengeluarkan mangsa dari kolam.
“Anggota penyelamat kolam turut memberikan bantuan kecemasan termasuk bantuan pernafasan (CPR), selain mendapatkan bantuan daripada agensi keselamatan dan perkhidmatan perubatan dengan segera.
“Hasil tindakan awal tersebut, mangsa telah menunjukkan respons dan sedar semula sebelum diserahkan kepada pihak bomba yang tiba sekitar jam 5.20 petang.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bukit Mertajam menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya hari ini.
Dalam kenyataan sama, MBSP menegaskan aspek keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan dan anggota penyelamat kolam ditempatkan di kawasan operasi sepanjang waktu taman tema dibuka.
“Pematuhan terhadap SOP keselamatan serta tahap kesiapsiagaan anggota bertugas sentiasa dipastikan bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan.
“Selain itu kita juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak, khususnya di kawasan air, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette















