banglo Guan Eng saw yee fung kerajaan PH bekalan gula
Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA melahirkan rasa bimbang terhadap kenyataan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang menegaskan graduan perubatan boleh menggunakan gelaran “Doktor (Dr)” sebagai gelaran akademik walaupun mereka tidak layak untuk mengamalkan perubatan.

Setiausaha Agungnya, Saw Yee Fung berkata, pendirian itu berisiko mengelirukan orang awam dan boleh menjejaskan kredibiliti profesion perubatan yang wujud sejak sekian lama.

Menurut beliau, gelaran “doktor” bukan sekadar satu gelaran kehormatan tetapi simbol identiti profesional yang berasaskan akreditasi, latihan dan piawaian amalan yang ketat.

“Jika tanpa had dan kawalan yang jelas, graduan perubatan yang tidak diiktiraf dibenarkan menggunakan gelaran “doktor” secara bebas, tidakkah ini bermakna sesiapa sahaja pada masa hadapan boleh sewenang-wenangnya menggunakan gelaran “Dr”? Keadaan ini pasti akan menimbulkan kekeliruan kepada orang awam dalam membezakan doktor yang benar-benar berkelayakan.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah program perubatan yang tidak diiktiraf di Malaysia mungkin tidak memenuhi piawaian atau spesifikasi yang diperlukan. Dalam keadaan sedemikian, membenarkan graduan mereka merujuk diri sebagai “doktor” seolah-olah memberikan pengiktirafan tersirat terhadap kedudukan profesional mereka,” hujah beliau.

Yee Fung berkata, dalam isu yang sensitif seperti gelaran “doktor” dan amalan perubatan, sebarang pengendalian yang tidak cermat boleh mengelirukan orang awam dan wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa berkaitan.

Beliau turut menegaskan kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang bertindak sebagai “penjaga pintu” perubatan negara mempunyai tanggungjawab utama untuk melindungi piawaian profesional secara tegas dan mempertahankan kredibiliti sistem kesihatan — bukannya mengeluarkan kenyataan di tengah-tengah kontroversi politik yang boleh ditafsirkan sebagai memberi perlindungan kepada ahli politik.

“Apabila ‘pintu’ ini dibuka, kesannya akan sukar dibendung. Adakah kita akan melihat lebih ramai individu yang tidak berkelayakan dan tidak diakreditasi melabelkan diri mereka sebagai “doktor”? Bagaimana kerajaan akan memastikan profesionalisme perubatan tidak terhakis? Bagaimana kita boleh mengelakkan orang awam daripada dikelirukan atau bahkan diperdaya?,” soalnya

Lantaran itu, Pemuda MCA menggesa MMC dan kerajaan untuk mengambil serius kebimbangan awam, membezakan dengan jelas antara “gelaran akademik” dan “status profesional seorang doktor perubatan”, serta mewujudkan peraturan yang lebih jelas dan ketat.

Hanya dengan cara ini penyalahgunaan gelaran “doktor” dapat dicegah dan hak orang awam terhadap maklumat serta keselamatan perubatan benar-benar dilindungi, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast