JOHOR BAHRU – Misteri bau hangit di beberapa kawasan di bandar raya ini sejak semalam seakan terjawab selepas Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyerbu sebuah kilang kejuruteraan di Kawasan Perindustrian Maju Jaya, semalam.

JAS dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan dari pukul 3 petang hingga 7 malam itu membongkar aktiviti pembakaran terbuka pelbagai jenis sampah yang dilakukan kilang terbabit.

“Hasil serbuan intensif menerusi Operasi Pemantauan Bersepadu di Kawasan Perindustrian Maju Jaya di sini ini telah berjaya membongkar aktiviti pembakaran terbuka pelbagai jenis sampah oleh sebuah kilang kejuruteraan.

“Susulan itu JAS Johor telah mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” maklum kenyataan tersebut yang dikeluarkan dalam Facebook JAS hari ini.

Menurut JAS, walaupun aktiviti pembakaran tersebut dikenal pasti bukan punca utama bau hangit yang dilaporkan, tindakan tanpa kompromi tetap diambil bagi memastikan pematuhan undang-undang yang ketat.

Operasi itu menurut JAS, diteruskan dengan serbuan ke atas sebuah premis kitar semula barang lusuh di Jalan Kempas Lama yang disyaki menjadi punca pencemaran.

“Meskipun tiada bau abnormal dikesan semasa pemeriksaan, premis tersebut didapati melakukan kesalahan serius kerana memiliki dan menyimpan buangan terjadual (e-waste) secara haram.

“Tindakan penguatkuasaan telah diambil oleh JAS ke atas stor e-waste tanpa permit tersebut manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengenakan tindakan susulan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan,” tambah kenyataan itu.

Operasi kali ini hasil kerjasama antara JAS Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Penguatkuasaan MBJB.

JAS Johor menegaskan bahawa siasatan akan terus dipergiat dan tidak akan berhenti sehingga punca utama pencemaran dikenal pasti dan ditangani sepenuhnya.

“Pihak Jabatan menyeru kepada seluruh masyarakat agar menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Jabatan dengan menyalurkan sebarang maklumat, bukti gambar, atau lokasi mencurigakan yang berkaitan dengan aktiviti pencemaran.

“Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi memastikan tindakan pantas dapat diambil demi kesejahteraan awam.”

Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran alam sekitar talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke [email protected] atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast