PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini diberitahu, keempat-empat pertuduhan salah guna kedudukan yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak kabur, cacat atau bertindih di antara satu sama lain.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, keempat-empat pertuduhan itu tidak menimbulkan prejudis terhadap bekas Perdana Menteri.
Sehubungan itu, beliau menolak hujahan pembelaan bahawa pertuduhan adalah tidak jelas hingga menyebabkan Najib sukar untuk memahaminya dan menyediakan pembelaan.
Hakim Collin turut mendapati, hujahan pembelaan bahawa dana yang diterima adalah derma politik, tidak dapat diterima oleh mahkamah kerana wang tersebut dipindah terus ke dalam akaun peribadi Najib.
Beliau menyatakan demikian ketika membacakan dapatan mahkamah dalam kes penyelewengan RM2.3 billion dana 1MDB bermula pukul 9.13 pagi.
Pada peringkat ini, mahkamah hanya membacakan dapatan dan belum membuat keputusan sama ada Najib bersalah atau dibebaskan terhadap empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Hakim Collin selanjutnya menyatakan, mahkamah menolak pembelaan Najib bahawa dana RM2.3 bilion yang diterima adalah sumbangan Arab Saudi.
Ujar beliau, dapatan itu dicapai selepas berpuas hati bahawa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Riyadh pada 2013, gagal mengesahkan kesahihan surat sumbangan bagi menyokong pemberian dana berkenaan.
Mahkamah turut diberitahu, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bertindak sebagai ejen kepada Najib dalam urusan 1MDB berdasarkan bukti gambar percutian bersama yang menunjukkan hubungan rapat kedua-duanya.
Hakim Collin kemudian menangguhkan prosiding pukul 12.15 tengah hari yang berlangsung selama tiga jam dan menetapkan penyampaian keputusan disambung pukul 3 petang.
Bagi pertuduhan salah guna kedudukan, beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di ibu negara antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula didakwa dilakukan di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

















Aikkk tengok gambar bercuti jaa terus jd ejen kaaa? senangnya buat kesimpulan