KUALA LUMPUR – Seramai lapan individu yang ditahan susulan insiden kekecohan di Kampung Sungai Baru di sini akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan arahan pertuduhan juga sudah diterima daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kesemua lapan tangkapan itu akan dituduh dibawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dan arahan juga sudah dapat untuk ambil tindakan.
“Selain itu, seorang daripada suspek turut didakwa atas pertuduhan tambahan di bawah Seksten 332 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas sehingga mendatangkan kecederaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Hi Tea Apresiasi Polis Kuala Lumpur bersama Media Tahun 2025 di Grand Millenium Hotel, di sini hari ini.
Tambah Fadil, perbuatan menghalang penjawat awam ketika bertugas adalah kesalahan serius dan tindakan pendakwaan yang bakal diambil diharap dapat memberi pengajaran serta menjadi peringatan kepada orang ramai.
Terdahulu media melaporkan, beberapa individu ditahan bagi membantu siasatan selepas seorang pegawai kanan polis cedera ketika berlaku insiden rempuhan penduduk di Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu. – MalaysiaGazette
















