Peguam mewakili bekas Perdana Menteri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah bercakap pada media berkenaan hukuman penjara 15 tahun terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 26 DISEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia digesa agar kekal tenang, rasional, berhemah serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat Malaysia perlu menilai keputusan mahkamah tinggi dengan tenang dan rasional.

“Bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang kita junjung bersama.

“Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan yang dibacakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di lobi Istana Kehakiman, di sini, malam ini.

Peguam mewakili bekas Perdana Menteri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah bercakap pada media berkenaan hukuman penjara 15 tahun terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 26 DISEMBER 2025.

Terdahulu, mahkamah tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion kepada Najib terhadap kesemua 25 pertuduhan berkaitan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mensabitkan Najib terhadap empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Menurut Najib, beliau akan terus menuntut haknya melalui saluran sah dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi serta menuntut pengorbanan yang besar.

“Apa pun keputusan hari ini, saya tetap yakin kepada proses kehakiman negara.

“la adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Najib juga berkata, beliau tetap bertekad untuk meneruskannya, bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip.

“Saya menulis ini dengan fikiran yang tenang, meskipun hati saya berat. Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian.

“Apa yang saya tuntut hanyalah hak diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan.

“Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast