Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat zuhur dalam kemalangan di simpang Jalan Desa Mutiara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata,kemalangan itu berlaku pukul 1.56 petang melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Solariz dan dua kenderaan Toyota Vellfire dan Perodua Alza.

“Hasil siasatan mendapati mangsa yang berusia 76 tahun menunggang motosikal tersebut dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat zuhur.

“Apabila tiba di tempat kejadian, mangsa ya bergerak lurus dari Persiaran Desa Mutiara dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, motosikal tersebut kemudian melanggar Toyota Vellfire yang sedang bergerak serta Perodua Alza yang sedang parkir di bahu jalan.

Menurut Raub, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Hafiz Jaafar 017-5919208.

Boleh juga menghubungi Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli 017-3064779 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast