PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meneruskan siasatan berhubung derma politik Kerajaan Arab Saudi kepadanya.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempertikaikan SPRM dan AGC kerana menyalahkan anak guamnya selepas peguam yang dilantik Putera Arab Saudi, Muhammad Abdullah Al Koman tidak berpuas hati ketika diambil keterangan.
“Mengapa menyalahkan anak guam saya? Beliau tidak melakukan penyiasatan, ia adalah SPRM dengan AGC.
“Jika anda (SPRM &AGC) tidak gembira, mengapa tidak menyiasat lebih lanjut?
“Tiada siapa menghentikan mereka daripada menyiasat. Datuk Seri Najib jelas tidak pernah menghalang mereka menyiasat,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman, di sini, malam ini.
Terdahulu Mahkamah Tinggi di sini mendapati, empat surat bagi menyokong derma politik kepada Najib yang juga bekas Perdana Menteri daripada pemerintah Arab Saudi, adalah palsu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata demikian ketika menyampaikan keputusan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hari ini.
Selain itu, Shafee berkata, Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz mengesahkan empat surah derma politik kepada Najib yang ditunjukkan SPRM dan AGS merupakan dokumen daripada pemerintah itu.
“Mereka menunjukkan empat surat, putera mengesahkan, ya, ini surat saya, tetapi oleh kerana putera mempunyai imuniti, dia tidak sanggup untuk menjadi saksi.
“Dia berkata, saya tidak akan memberikan kenyataan, tetapi peguam saya, Al Koman, akan memberikan kenyataan. Jadi, kenyataan Koman diambil di mana Raja berada di dalam bilik.
“Jadi sekarang, semua ini telah dilakukan oleh siapa, SPRM dan AGC, Ketika itu SPRM diwakili ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad.
“Peguam berkata, mereka menyiasat dan mengambil keterangan di istana itu tidak menyenangkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















