MUHYIDDIN Yassin ketika berucap merasmikan Konvensyen Bersatu di IDCC Selayang, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada arahan dikeluarkan oleh beliau atau mana-mana pemimpin parti agar lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menandatangani Akuan Berkanun (SD).

Jelasnya, Bersatu hanya menyembah maklum nama calon Menteri Besar Perlis daripada parti itu setelah dititah oleh Istana Perlis untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu katanya, parti akan mendengar penjelasan daripada ADUN-ADUN Bersatu Perlis untuk mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.

“Saya ingin menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) menghormati sepenuhnya kuasa budi bicara Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail selaku Raja Perlis serta menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis dalam melantik Menteri Besar.

“PN juga menghormati kedudukan PAS sebagai parti yang memimpin PN Negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin menambah, beliau mengikuti perkembangan krisis politik di Perlis susulan peletakan jawatan Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Katanya, beliau yakin bahawa parti-parti di bawah PN mempunyai kaedah masing-masing untuk menguruskan sebarang isu berbangkit dengan berhemah bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran PN di Perlis.

“Saya berharap isu berhubung kedudukan Menteri Besar akan dapat diselesaikan dalam semangat keluarga besar PN,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast