KUALA LUMPUR – Aktiviti tanaman padi bagi Musim 2/2025 di Kawasan Muda masih berada dalam keadaan terkawal meskipun Kedah dan Perlis kini telah memasuki fasa cuaca panas dan kering.
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga kini, status kemajuan aktiviti tanaman padi melibatkan aktiviti penyediaan tanah mencapai 97.6 peratus: aktiviti penanaman (94.7 peratus), manakala peringkat berbunga berada pada 0.1 peratus, selari dengan jadual pelaksanaan musim.
Menurutnya, setakat kelmarin, paras takungan empangan utama di Kawasan Muda kekal berada pada tahap selesa dan mencukupi bagi menampung keperluan tanaman.
Tambahnya, takungan Empangan Pedu adalah pada paras 62.41 peratus; Empangan Muda 90.08 (peratus) dan Empangan Ahning 67.96 (peratus), dengan jumlah keseluruhan takungan adalah 66.25 peratus.
“Bagi memastikan bekalan air kekal mencukupi sepanjang tempoh cuaca kering ini, pihak MADA telah mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula dan pam-pam bergerak.
“Selain itu, pengagihan air secara penggiliran dilaksanakan mengikut keperluan fasa tanaman di setiap wilayah bagi mengoptimumkan penggunaan sumber air empangan,” katanya.
Terdahulu, MADA mengesahkan kawasan Muda yang meliputi Kedah dan Perlis kini telah memasuki fasa cuaca panas dan kering susulan penurunan ketara jumlah turunan hujan sejak pertengahan bulan ini, dan keadaan itu dijangka berterusan sehingga awal tahun depan.
Berdasarkan rekod Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas tanpa hujan telah berlaku selama dua minggu berturut-turut bermula 18 Disember lalu.
Sepanjang tempoh tersebut, jumlah turunan hujan di Kawasan Muda hanya sekitar 27 milimeter (mm) berbanding purata 20 tahun sebanyak 108mm, sekali gus mengesahkan peralihan kepada fasa cuaca kering.
Tambah kenyataan itu, MADA turut mengambil perhatian terhadap peningkatan risiko serangan perosak, khususnya tikus, yang lazim berlaku ketika cuaca panas dan kering.
Kataya, keadaan persekitaran yang kering berpotensi mendorong pergerakan tikus ke kawasan sawah dan memberi ancaman kepada tanaman padi sekiranya tidak dikawal secara bersepadu.
“Sehubungan itu, kempen kawalan perosak bersepadu (IPM) sedang dipergiatkan di seluruh Kawasan Muda, melibatkan kawalan tikus serta perosak utama lain melalui kaedah yang selamat, berdaftar dan berkesan, di samping khidmat nasihat kepada pesawah,” katanya.
Tambahnya, peladang di Kawasan Muda dinasihatkan sentiasa peka dengan perubahan cuaca, mengurus penggunaan air sawah secara berhemah serta melaksanakan kawalan tikus secara berterusan.
Selain itu, katanya, pesawah juga digalakkan mendapatkan khidmat nasihat daripada pegawai MADA di lapangan sekiranya mengesan tanda-tanda awal serangan perosak. – MalaysiaGazette
















