GEORGE TOWN – Seorang lelaki melecur tahap dua selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Jalan Baba Ahmad, Tanjung Bungah di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.37 pagi dan tiba di lokasi 11 minit kemudian.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres kelas A dengan keluasan anggaran 20 x 60 kaki persegi, dan kerosakan akibat kebakaran dianggarkan 60 peratus.
“Pihak bomba melakukan penilaian awal lokasi sebelum menjalankan operasi pemadaman dan penyelamatan menggunakan kaedah ofensif dan defensif.

“Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun terperangkap dan berjaya dikeluarkan dari bilik air pada jam 10.12 pagi.
“Mangsa yang melecur tahap dua diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans PBS Bukit Bendera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kebakaran dikawal sepenuhnya pada jam 9.54 pagi dan operasi tamat sepenuhnya jam 12.33 tengah hari.
“Lokasi kebakaran diserahkan kepada pasukan penyiasatan kebakaran untuk tindakan lanjut termasuk bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette
















