KUALA LUMPUR – Sebuah menara komunikasi milik Maxis yang menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak, jam 6.50 petang tadi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataannya berkata, kebakaran itu menyebabkan liputan perkhidmatan telekomunikasi, khususnya bagi pengguna CelcomDigi, Maxis dan U Mobile terjejas.
Katanya, kawasan yang terjejas adalah sekitar menara tersebut termasuk Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas dan Kampung Lempor.
Kebakaran turut menjejaskan liputan perkhidmatan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang berdekatan dengan lokasi kejadian turut terkesan.
Menurut MCMC, setakat ini punca kebakaran menara berkenaan masih dalam siasatan.
“Akses ke lokasi kejadian sudah ditutup oleh pihak berkuasa bagi membolehkan pihak yang berkenaan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan siasatan lanjut.
“Dalam masa yang sama, MCMC sudah mengarahkan penyedia perkhidmatan berkaitan untuk melaksanakan tindakan pembetulan serta-merta, termasuk penyediaan pelan pemulihan menyeluruh bagi menangani gangguan liputan yang berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
MCMC turut mengaktifkan langkah kecemasan, iaitu melaksanakan penyelesaian sementara dengan mengaktifkan kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak (Arah Utara), Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) bagi memastikan pengguna lebuh raya kekal mempunyai akses komunikasi.
Selain itu, MCMC turut mengarahkan pemilik menara dan penyedia perkhidmatan untuk memperketatkan penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal dan pemantauan berterusan di semua menara, selaras dengan keperluan kebolehpercayaan rangkaian dan keselamatan pengguna. -MalaysiaGazette
















