Home Nasional Pemandu guna pengunci stereng pukul pemandu e-hailing ditahan

Pemandu guna pengunci stereng pukul pemandu e-hailing ditahan

KUALA LUMPUR – Polis telah menangkap seorang lelaki tempatan selepas memukul pemandu e-hailing menggunakan pengunci stereng, semalam.

Kejadian yang tular itu berlaku pada jam  2.21 petang di Jalan Lingkaran Dalam, berdekatan simpang keluar dari sebuah stesen minyak di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berpunca apabila mangsa yang berusia 38 tahun dipercayai keluar dari stesen minyak secara melulu, menyebabkan suspek yang memandu di laluan sama terpaksa membrek secara mengejut.

“Suspek lelaki yang tidak berpuas hati kemudian keluar daripada kenderaannya lalu bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng.

“Akibat kejadian itu, pemandu e-hailing cedera di bahagian muka sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis telah merampas alat pengunci stereng yang digunakan suspek semasa kejadian tersebut.

Menurutnya, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tiga tahun dengan denda atau disebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Reman suspek akan dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast