Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kedai runcit di Bukit Kepong, Pagoh, Muar yang merakamkan kejadian gempa bumi.

MUAR – Tiada sebarang laporan kerosakan akibat gempa bumi di Bukit Kepong, Pagoh dekat sini semalam setakat ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal berkata, gegaran tersebut hanya berlaku sekali dan hanya dalam tempoh yang singkat.

“Gegaran dirasai sekali sahaja sekitar pukul 8.55 pagi dan ia berlaku sekejap. Setakat ini memang tiada laporan kerosakan yang kita terima akibat gegaran tersebut sama ada melibatkan penduduk atau harta benda,” katanya ketika dihubungi.

Datuk Dr. Sahruddin Jamal

Semalam, satu gegaran gempa bumi kecil dilaporkan berlaku di Bukit Kepong dengan gegaran turut dirasai penduduk sekitar Felda Sri Ledang dan Felda Lenga.

Namun gempa bumi lemah dengan magnitud 3.4 itu tidak memberi ancaman tsunami terhadap Malaysia.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memberitahu, gempa berkenaan dikesan pada koordinat 2.4° Utara dan 102.7° Timur, kira-kira 16 kilometer (km) barat daya Pagoh, dengan kedalaman 10 km.

Sementara itu, Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, setakat ini, pihaknya tidak ada menerima sebarang laporan mengenai banjir di sekitar kawasan Bukit Kepong.

“Setakat ini memang tiada ada laporan yang kita terima tetapi orang rasmi dinasihatkan untuk terus berwaspada. Lagi pun, sekarang ini musim tengkujuh dan beberapa kawasan di Segamat sudah pun dilanda banjir,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast