KUALA LUMPUR – Pengurus Melaka FC, Muhammad Najmi Mohd Nordin mengesahkan pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan daripada ketua jurulatih, Datuk K Devan.
Jelasnya, perlawanan kelab Liga Super itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi dikendalikan oleh penolong jurulatih, S. Subramaniam.
“Kami sudah menerima surat peletakan jawatan pada dua tiga hari yang lepas. Jadi pasukan akan dibimbing penolong jurulatih, Subramaniam untuk perlawanan malam ini,” katanya memetik laporan Astro Arena di sini malam tadi.
Najmi menambah, pihak pengurusan kelab menghormati keputusan Devan sambil menghargai segala komitmen yang telah dicurahkan sepanjang tempohnya mengendalikan pasukan.
“Kami mengucapkan jutaan terima kasih. Dia sudah cuba yang terbaik tetapi dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku, kita pun tahu. Jadi selamat maju jaya buatnya,” katanya lagi.
Beliau turut memberitahu, Melaka kini sedang meneliti calon ketua jurulatih baru yang akan diumumkan seawal bulan depan.
Antara pencapaian terbaik Devan sepanjang bimbing skuad Hang Tuah ialah muncul juara Liga A1 Semi-Pro musim 2024/2025.
Sementara itu, dalam laporan sama, hanya beberapa jam selepas K Devan meninggalkan jawatan ketua jurulatih Melaka, langkah sama dituruti Subramaniam.
Selepas tewas 0-3 dalam perlawanan berkenaan, bekas pertahanan negara itu mengumumkan peletakan jawatannya secara serta-merta. – MalaysiaGazette
















