Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pegawai kanan tentera darat yang kini disiasat dalam kes rasuah melibatkan projek perolehan Tentera Darat Malaysia masih belum memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber berkata, pegawai tersebut sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada 28 Disember 2025, namun beliau telah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada tarikh berkenaan.

Setakat ini, suspek masih menerima rawatan.

Namun, setakat ini SPRM sedang memberi fokus siasatan aliran wang yang disyaki masuk ke dalam akaun milik pegawai tersebut yang kini disiasat sebagai suspek dalam satu kes rasuah tersebut.

Sumber memaklumkan, SPRM juga telah melakukan operasi penggeledahan di pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (Mindef) serta di kediaman rasmi suspek bermula sekitar jam 5 petang hingga 12 tengah malam pada 27 Disember lalu.

Bagaimanapun, penggeledahan tidak menghasilkan sebarang sitaan wang tunai.

Namun SPRM telah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan, kata sumber itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber memaklumkan, siasatan tetap diteruskan dengan memanggil saksi-saksi utama melibatkan kontraktor yang dipercayai memperoleh projek berkaitan tentera darat.

“Setakat ini, SPRM telah merakam keterangan lima pemilik syarikat, dan jumlah keseluruhan saksi yang telah dipanggil bagi membantu siasatan adalah 10 orang,” menurut sumber itu.

Pada masa sama, katanya, SPRM sedang menyiasat kira-kira 40 buah syarikat yang disyaki terlibat dalam pemberian wang rasuah, dan siasatan terhadap syarikat-syarikat berkenaan sedang dijalankan secara berperingkat.

“SPRM dijangka akan terus memperluaskan siasatan termasuk aspek aliran kewangan, perolehan projek dan kaitan individu serta syarikat yang terlibat, selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009,” katanya lagi.

Pada Selasa lalu, pegawai SPRM telah hadir ke Mindef dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Hari ini, pegawai SPRM telah menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan,” kata beliau.

Beliau juga mengesahkan terdapat enam akaun bank yang dipegang oleh suspek dan ahli keluarganya telah disita dalam siasatan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

5 Komen

  1. Alhamdulillah sekarang sudah hampir terbongkar rasuah melibatkan ATM..selama ini tindakan lebih tertumpu kononnya PDRM, KASTAM, IMIGRESEN, JPN sahaja terlibat.Semuga dipermudahkan urusan SPRM dlm menangani kes berprofil tinggi dan terima kasih kerajaan MADANI berani bertindak untuk membersihkan negara dlm isu rasuah yg berakar umbi sejak sekian lama

    • farhash lepas..sivakumar lepas..asia mobiliti suami hannah yeo lepas..kiosk berhantu kor ming lepas..tindakan hanya utk org lain sahaja..utk geng2 madani dikecualikan

    • cian askar tu..tak boleh main peraang dah la..dia main sogok sogok plak….kan dah kne cekop cekop dah la

    • Wayang Madanon. Kes rasuah LCS TLDM kenapa diam membisu? Adakah itu akan membabitkan 47 DNAA? Melayu masih ingat.

Comments are closed.