ALOR SETAR – UMNO Kedah menegaskan sebarang cadangan kerjasama politik termasuk kemungkinan pembentukan semula Muafakat Nasional (MN) baharu perlu dinilai secara strategik bagi memastikan kestabilan parti dan perpaduan Melayu.
Ketua penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, UMNO Kedah menyambut baik usaha memperkukuh ukhuwah dan mengangkat kewibawaan bangsa Melayu dan agama Islam namun kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu ditafsir dengan teliti.
“UMNO Kedah masih percaya akan kepentingan silaturahim dan pergaulan sosial yang sihat tanpa mengira sentimen dan fahaman politik tertentu.
“Namun, kenyataan Sanusi perlu dilihat dengan optik yang mendalam dan bentuk tersurat dan tersirat kerana mengikut laporan media langsung tidak mengalu-alukan sebarang kerjasama intra parti, namun lebih bersifat ingin memancing dan mengambil kesempatan di atas perkembangan politik semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shaiful Hazizy berkata, sebarang kerjasama politik mesti dinilai secara tenang dan objektif bagi mengelakkan keputusan berasaskan emosi yang bersifat sementara.
“Sebarang kerjasama perlu dinilai secara strategik, tenang dan tidak terburu-buru bagi mengelak keputusan politik berlandaskan emosi yang akan mengundang kerapuhan dan bersifat sementara.
“Kita yakin presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO mampu membuat penilaian terhadap cadangan pakatan politik namun ahli parti perlu menilai setiap bentuk kerjasama dengan lebih berdaya tahan dan objektif.
“Namun ahli parti perlu lebih tenang dan menilai sebarang bentuk kerjasama politik dengan lebih objektif dan berdaya tahan. UMNO dan BN juga harus kekal sebagai sebuah gabungan yang selesa didampingi serta menjadi asas perlindungan terhadap kaum lain sejak sekian lama,” katanya.
Tambah beliau, sebarang perbincangan untuk menghidupkan semula MN baharu harus bersifat menyeluruh dan bertunjangkan perpaduan Melayu tanpa meminggirkan hak kaum lain.
“Sekiranya ada perbincangan untuk mengembalikan Muafakat Nasional ‘baharu’, ia harus bersifat menyeluruh, bertunjangkan perpaduan Melayu tanpa meminggirkan hak kaum lain serta membenarkan perbezaan pandangan yang sihat dan konstruktif,” katanya. – MalaysiaGazette















