KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah berpesan kepada mereka yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab, khususnya ahli-ahli politik di Selangor supaya berhenti daripada bercakap berkenaan politik.
Sebaliknya, titah baginda, mereka perlu fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat memandangkan pilihan raya umum (PRU) akan berlangsung tidak lama lagi.
Sultan Sharafuddin bertitah, segala tenaga dan fikiran seharusnya ditumpukan kepada usaha membina pembangunan yang nyata, agar rakyat dapat hidup dengan lebih selesa, terpelihara kebajikannya dan merasa dilindungi oleh sistem yang adil serta berkesan.
“Ingatlah, tiada yang mustahil jika niat itu tulus dan usaha itu bersungguh-sungguh. Segala perancangan dan tindakan hendaklah berteraskan satu matlamat utama iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri,” titah baginda sempena tahun baharu 2026 seperti disiarkan menerusi laman sosial Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Sementara itu, Sultan Selangor bertitah, mahu melihat masalah banjir yang telah lama berlarutan ditangani secara tuntas dengan sasaran yang jelas iaitu zero flood.
Titah baginda, kepakaran terbaik bagi mengatasi masalah itu perlu dicari sama ada di dalam atau luar negara, serta menggunakan ilmu, teknologi dan pengalaman.
“Jangan lagi berlindung di sebalik alasan, kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, tiada siapa mampu menghalang ribut, taufan, hujan lebat atau bencana alam yang merupakan ketentuan Ilahi.
“Namun Beta yakin, banjir boleh diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang dan pelaksanaan yang jujur serta berdisiplin,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Selangor bertitah menaruh harapan setinggi-tingginya agar tahun 2026 membawa kemakmuran yang lebih besar kepada rakyat.
“Jadikanlah tahun baharu ini sebagai titik azam untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih berakhlak, dan lebih bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri.
“Semoga Allah memberkati negeri ini dan seluruh rakyat Beta,” katanya. – MalaysiaGazette
















