GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan ngeri apabila kereta dipandunya ditusuk sebatang besi di Ayer Itam sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa, Lim Soon Teik, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Difahamkan, mangsa memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios secara bersendirian sebelum memasuki laluan yang ditutup untuk pemasangan kabel elektrik.
Impak kejadian itu tayar hadapan kenderaannya terperosok ke dalam lubang yang dikorek kerja bagi pemasangan kabel sebelum sebatang besi di lokasi menusuk dari bahagian bawah hingga menembusi bumbung kereta.

Susulan itu, orang awam yang berada di lokasi kejadian memberi bantuan awal sebelum kehadiran pihak berkuasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Kenyataan media berhubung kejadian ini akan dikeluarkan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette















