Muhammad Zakir Arif Rahim, 28, dari Kajang mencipta kejutan apabila muncul juara Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 selepas menaikkan ikan Geruk seberat 1.2 kilogram (kg) di laut berhampiran Pengkalan Sungai Sekawang, Port Dickson semalam.

PORT DICKSON – Muhammad Zakir Arif Rahim, 28, dari Kajang mencipta kejutan apabila muncul juara Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 selepas menaikkan ikan Geruk seberat 1.2 kilogram (kg) di laut berhampiran Pengkalan Sungai Sekawang semalam.

Beliau yang bekerja sendiri menggunakan umpan cacing merah membawa pulang wang tunai RM10,000, menewaskan lebih 500 pemancing dari seluruh negara yang menyertai pertandingan tahunan tersebut.

“Saya tak sangka boleh menang. Ini rezeki hujung tahun untuk keluarga,” katanya selepas menerima hadiah yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli merangkap Exco Kerajaan Negeri Sembilan.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohamad Sobri Sahda dari Petaling Jaya, Selangor dengan tangkapan semilang seberat 0.695 kg dan menerima RM3,000, manakala tempat ketiga milik Mispan  Zaidin, 67, dari Banting, Selangor dengan ikan duri seberat 0.664 kg dan membawa pulang RM1,000.

Pertandingan dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Linggi bersama Nadi Media Events dengan kerjasama JPKK Sungai Sekawang serta sokongan Tourism Malaysia sebagai usaha menyokong promosi agro pelancongan luar bandar menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

Lebih 200 ekor ikan pelbagai spesies berjaya dinaikkan sepanjang acara, antaranya duri, gelama, semilang, belukang, tetanda, tetuka, malong, daun baru, serkut, yu cicak dan buntal.

Penduduk kampung turut mengambil peluang menjana pendapatan melalui jualan makanan dan minuman, menjadikan pertandingan ini sebagai acara komuniti berimpak tinggi yang mampu menjadi produk pelancongan tahunan negeri.

Penganjur memaklumkan bahawa kejayaan penganjuran tahun ini akan menjadi pemangkin untuk meneruskan acara pada skala lebih besar tahun hadapan, seiring usaha menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast