BUKIT MERTAJAM – Kira-kira 80 peratus daripada 9,000 ekor ayam ternakan mati selepas sebuah reban di sebuah ladang ternakan terbakar di Jalan Juru Estate di sini, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 10.39 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bersama bantuan BBP Bandar Perda dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba kita dapati kebakaran melibatkan sebuah reban ayam kelas B dengan anggaran keluasan 40 x 400 kaki persegi selain tahap kemusnahan dianggarkan 50 peratus membabitkan struktur dalaman reban.
“Bagaimanapun, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 11.01 malam dan mendapati kebakaran telah dipadamkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran sebelum ketibaan bomba

“Kebakaran tidak melibatkan struktur luar reban, sebaliknya hanya membabitkan struktur dalaman termasuk ruang ternakan ayam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, jumlah keseluruhan ayam di dalam reban itu dianggarkan 9,000 ekor dengan kira-kira 20 peratus masih hidup namun berada dalam keadaan kehitaman akibat terdedah kepada asap dan kebakaran.
“Tiada mangsa manusia dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
“Komander operasi menjalankan penilaian awal dengan kelengkapan perlindungan diri lengkap dan memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya sebelum lokasi diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.
“Operasi dikawal pada jam 11.05 malam dan ditamatkan pada jam 11.58 malam,” katanya. – MalaysiaGazette
















