JOHOR BAHRU –- Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menggunakan 25 unit kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih berkuasa solar dalam usaha membanteras kegiatan pembuangan sampah haram.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, semua CCTVG berkenaan akan dipasang di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi panas (hotspot) pembuangan sampah.
Jelasnya, CCTV berkenaan akan ditempatkan secara berperingkat-peringkat di lokasi berisiko tinggi sekali gus melengkapi dua unit sedia ada milik MBJB.
“CCTV mudah alih itu turut dilengkapi pembesar suara bagi membolehkan amaran dikeluarkan secara terus kepada individu yang dikesan melakukan kesalahan.
“Ini akan membantu dan bertindak dari segi pencegahan awal terhadap pembuangan sampah di kawasan terbabit.
“Penggunaan CCTV ini telah menunjukkan keberkesanan apabila berjaya mengurangkan kes pembuangan sampah haram di beberapa kawasan sebelum ini,” katanya.
Mohd Haffiz berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB, Bukit Senyum di sini hari ini.
Katanya, maklumat dan rakaman CCTV berkenaan akan dikongsikan bersama-sama pihak SWM Environment Sdn Bhd (SWM Corp) bagi membantu pelaksanaan tindakan penguatkuasaan.
“Kita akan serahan rakaman kepada pihak SWM Corp, terutamanya bagi urusan pengeluaran kompaun mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Sementara itu, Mohd Haffiz berkata, katanya, MBJB tidak akan mengeluarkan lesen kepada mana-mana premis bagi penjualan rokok elektronik (vape).
“Sekiranya dikesan ada (premis) yang beroperasi secara haram, tindakan penutupan akan dibuat,” tegasnya.- MalaysiaGazette
















