ISKANDAR PUTERI – Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan selepas menahan seorang lelaki tempatan di Taman Austin Perdana, Johor Bahru pada 25 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek yang berusia berusia 49 tahun diberkas hasil risikan dan maklumat awam berkaitan beberapa kes jenayah yang berlaku di kawasan Bukit Indah.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau. Saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek aktif kegiatan itu seorang diri pada pertengahan tahun ini. Modus operandinya ialah menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni. Masuk melalui tingkap tepi rumah dengan cara umpil gril tingkap guna alatan pecah rumah yang dibawa,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah antaranya tiga alat kawalan jauh kenderaan, dua telefon bimbit, satu kad akses rumah, sebuah komputer riba, kamera papan pemuka, jam tangan, topeng muka, jaket, kasut, topi keledar serta lima beg pelbagai jenis.
Turut dirampas katanya, dua pasang sarung tangan, tiga keping papan nombor pendaftaran kenderaan, sebuah motosikal Yamaha Y16ZR, sebuah kereta, tiga alat permainan video serta pelbagai peralatan pecah rumah.
Kumarasan berkata, dengan tertangkapnya suspek polis berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah dan curi kenderaan yang berlaku di sekitar Bukit Indah.
“Suspek yang tidak bekerja kini direman selama enam hari bermula 26 hingga 31 Disember ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan rumah dengan niat melakukan jenayah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencuri kenderaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak polis akan terus komited bekerjasama dengan masyarakat bagi membanteras jenayah
Beliau meminta orang awam menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 atau hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette
















