SEGAMAT – Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat sedikit kepada 172 orang yang kini berlindung di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 10 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, jumlah tersebut melibatkan 58 keluarga dari tujuh buah kampung.
Beliau yang juga Pengerusi Pengurusan Jawatankuasa Bencana negeri berkata, melibatkan penduduk dari Kampung Sebarang Batu Badak, Kampung Batu Lima, Kampung Sermin dan Kampung Paya Lebar.
“Ini termasuk Kampung Pekan Air Panas, Kampung Orang Asli Sungai Kecil dan Kampung Baru Gemas yang dipindahkan ke PPS di balai raya, dewan serbaguna dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua mangsa ujarnya, dipindahkan susulan hujan lebat berterusan di daerah ini sejak kelmarin secara berperingkat-peringkat untuk tujuan keselamatan.
Beliau juga memaklumkan terdapat sembilan buah sungai sudah berada pada paras bahaya di empat daerah.
Katanya, ini melibatkan Sungai Muar di Segamat; Sungai Muar dan Sungai Kesang di Tangkak; Sungai Endau di Mersing serta Sungai Batu Pahat di Batu Pahat.
Selain itu katanya, terdapat cerun runtuh di Felda Tenggaroh 3, Mersing dan Jambatan Kesang di Sungai Rambai, Tangkak, retak.- MalaysiaGazette
















