KOTA TINGGI – Seorang pesara berputih mata apabila wang simpanan RM750,000 ‘hangus’ akibat diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa iaitu seorang wanita warga emas berusia 60 tahun memaklumkan kejadian tersebut bermula sejak September lalu.
“Mangsa dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan memaklumkan bahawa namanya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Suspek kemudiannya mengarahkan mangsa menyerahkan dua keping kad ATM kononnya bagi tujuan membersihkan nama mangsa daripada tuduhan berkenaan. Mangsa menyerahkan kad tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.
“Mangsa turut dijanjikan wang tersebut akan dipulangkan selepas siasatan selesai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila mendapati terdapat pengeluaran wang dari akaunnya sehingga mencecah RM750,000.
“Mangsa mendakwa suspek juga tidak memulangkan semula wang berhubung penyelesaian kes tuduhan pengubahan wang haram yang dikenakan ke atas mangsa,” katanya.
Warga emas tersebut katanya, kemudian membuat laporan polis di sini semalam, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- MalaysiaGazette
















